Skip to main content

Sukan

Guardiola dedah penyesalan terbesarnya di Manchester City

PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola membuat pengakuan mengejutkan mengenai penyesalan terbesarnya sepanjang sedekad mengemudi kelab itu di Stadium Etihad.
Guardiola akan mengendalikan City buat kali terakhir pada Ahad menentang Aston Villa sebelum memulakan tempoh rehat yang panjang daripada dunia pengurusan. - Foto Sinar Harian

PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola membuat pengakuan mengejutkan mengenai penyesalan terbesarnya sepanjang sedekad mengemudi kelab itu di Stadium Etihad.

Menjelang perlawanan terakhirnya yang bakal diselubungi emosi, pengendali kelahiran Catalonia itu mengakui tindakan tegasnya mengetepikan bekas penjaga gol, Joe Hart kekal menjadi kekesalan paling mendalam buat dirinya.

Guardiola mengejutkan penyokong pada pagi Jumaat dengan mengesahkan bakal meninggalkan kelab itu pada musim panas ini, sekali gus mengakhiri tempoh penguasaan selama 10 tahun yang penuh dengan transformasi.

Mengimbas kembali keputusan awal yang diambilnya sebaik tiba di Manchester pada tahun 2016, dia mendedahkan kesilapan dalam menguruskan Joe Hart yang telah lama berkhidmat dengan kelab berkenaan.

Hart diketepikan secara drastik demi memberi laluan kepada Claudio Bravo selepas mengharungi kempen Kejohanan Eropah yang sukar.

Penjaga gol itu hanya dihadkan kepada satu penampilan dalam pusingan kelayakan Liga Juara-Juara menentang Steaua Bucharest sebelum dipinjamkan ke kelab lain.

Mengulas mengenai tindakan tegas itu, pengurus berusia 55 tahun itu mengakui pendekatannya yang tidak berkompromi pada waktu tersebut kurang adil daripada sudut profesional.

"Saya mahu mengaku sesuatu. Saya mempunyai penyesalan. Apabila anda membuat banyak keputusan, anda pasti akan melakukan kesilapan.

"Ada satu kekesalan yang saya simpan di lubuk hati selama bertahun-tahun iaitu saya tidak memberikan peluang kepada Joe Hart untuk membuktikan keupayaannya sebagai penjaga gol yang baik. Sepatutnya saya lakukan perkara itu.

"Hormat saya kepada Claudio (Bravo) dan Ederson yang sangat penting apabila dia menyertai pasukan. Namun pada saat itu, saya sepatutnya berkata 'OK Joe, mari kita cuba lakukan bersama-sama dan jika ia tidak berkesan, barulah kita tukar'. Namun, perkara itu sudah pun berlaku," katanya dalam satu temu bual bersama Sky Sports.

Keputusan mengetepikan pemain antarabangsa England itu kemudiannya mengubah identiti pertahanan kelab, sekali gus membuka jalan kepada kehadiran Ederson bagi melaksanakan corak permainan hantaran pendek dari bawah yang menjadi identiti taktikal Guardiola.

"Kadangkala saya tidak cukup adil. Saya menyesalinya sehingga kini. Pada waktu itu, saya sentiasa berkeras dengan keputusan saya apabila saya mempercayainya.

"Apabila saya mempunyai keraguan, saya akan berbincang dengan orang lain, tetapi ketika itu saya pasti 100 peratus kami perlu melakukannya dengan cara sedemikian. Kelab juga menyokong saya dalam hal itu," ujarnya.

Guardiola akan mengendalikan City buat kali terakhir pada Ahad menentang Aston Villa sebelum memulakan tempoh rehat yang panjang daripada dunia pengurusan. - Sinar Harian

 

Must Watch Video

Advertisement