Skip to main content

Malaysia

Izzatul Musrifah lega SUKMA diteruskan, tekad buru gelaran ratu pecut

Izzatul Musrifah
Izzatul berkata SUKMA kekal menjadi sasaran utamanya musim ini, dengan misi memburu gelaran ratu pecut selepas sekadar membawa pulang dua pingat perak dalam acara 100 dan 200 meter pada edisi di Sarawak 2024. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Pelari pecut muda negara, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira, menarik nafas lega apabila penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 akan diteruskan, sekali gus mengembalikan semangatnya untuk menebus kekecewaan pada edisi lepas. 

Atlet berusia 18 tahun itu berkata SUKMA kekal menjadi sasaran utamanya musim ini, dengan misi memburu gelaran ratu pecut selepas sekadar membawa pulang dua pingat perak dalam acara 100 dan 200 meter pada edisi di Sarawak 2024.

“Bagi saya, saya agak lega juga sebab tiada sebarang penangguhan atau apa-apa. Walaupun mungkin dianjurkan dalam skala kecil, ia masih satu platform yang sangat baik untuk saya dan juga rakan-rakan pada tahun ini. 

“Yang paling penting, apabila SUKMA diteruskan, momentum dan semangat saya itu masih berkobar-kobar,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Izzatul berkata pengalaman di Sarawak menjadi pengajaran besar buat dirinya, dan berazam untuk kembali dengan persiapan lebih rapi, bukan sahaja bagi memburu kemenangan, malah mencipta catatan masa terbaik dalam kariernya. 

“Semestinya saya mahu rampas balik pingat emas yang saya tak dapat ketika 2024. Kalau boleh saya mahu peroleh pingat emas dalam kesemua acara yang saya bakal bertanding,

“Selain itu, saya akan cuba catatkan masa terbaik, dan pecahkan rekod kejohanan SUKMA dalam acara yang saya bakal sertai,” katanya.

Bagi persiapan menghadapi SUKMA, beliau akan menyertai beberapa siri kejohanan termasuklah Terbuka Malaysia.

SUKMA edisi ke-22 dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala PARA SUKMA dari 5 hingga 10 Sept, dengan 474 acara daripada 37 jenis sukan dipertandingkan di sembilan daerah melibatkan 52 venue.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video