KUALA LUMPUR: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, mendedahkan terdapat segelintir 'orang dalam' Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mendalangi kempen sabotaj bagi menjadikan baginda kambing hitam dalam isu pemalsuan dokumen pemain warisan.
Baginda dalam satu hantaran di laman media sosial X, mahu 'orang dalam' FAM itu bertanggungjawab dan tidak lepas tangan susulan keputusan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) membabitkan kes tujuh pemain Harimau Malaya terbabit.
Titah baginda, individu-individu terbabit dipercayai menyimpan rasa tidak puas hati sejak dahulu lagi kerana gagal memanipulasi kedudukan mengaut keuntungan peribadi.
Malah, Tunku Mahkota Ismail mendakwa ada pihak dari badan induk itu pernah datang bersemuka untuk meminta pertolongan mendapatkan projek, selain memohon bantuan agar mereka tidak disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pada Khamis lepas, CAS sebahagiannya menerima rayuan tujuh pemain Harimau Malaya terhadap hukuman yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung pemalsuan dokumen naturalisasi dan kelayakan.
Sebagai rekod, tujuh pemain terbabit ialah Hector Hevel, Imanol Machuca, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Gabriel Palmero.
Dalam keputusan operasi yang dikeluarkan tanpa alasan terperinci, CAS memutuskan tujuh pemain berkenaan masih dikenakan penggantungan selama 12 bulan. Bagaimanapun, larangan itu kini hanya terpakai kepada perlawanan rasmi dan bukan semua aktiviti berkaitan bola sepak.
CAS turut mengekalkan denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) yang dikenakan terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan menyifatkan hukuman itu wajar serta seimbang.
Isu berkenaan mula terbongkar pada September tahun lepas selepas FIFA mendapati dokumen dipalsukan digunakan bagi menyokong kelayakan tujuh pemain kelahiran luar negara yang mewakili Malaysia dalam perlawanan antarabangsa.