KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) Xisco Munoz berkata keyakinan Arif Aiman Mohd Hanapi memainkan peranan penting dalam kemenangan 2-0 skuad Harimau Selatan itu menentang Kuching City FC pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2025-2026 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, di sini malam tadi.
Munoz berkata pemain sayap itu memberikan jaminan bahawa beliau dapat mengubah haluan perlawanan sebelum diperkenalkan sebagai pemain gantian pada minit ke-65, ketika JDT masih bergelut untuk memecahkan kebuntuan Kuching City.
Jurulatih berasal dari Sepanyol berusia 45 tahun itu berkata Arif Aiman membuktikan kata-katanya dengan persembahan yang meyakinkan, membantu mengubah momentum perlawanan sebelum meraih kemenangan untuk juara Liga Super itu dengan gol lewat.
"Saya boleh katakan satu rahsia. Apabila Arif Aiman masuk, dia memberitahu saya, 'coach, mudah sahaja, tiada masalah, saya boleh mengubah situasi' dan benar dia melakukannya.
"Saya gembira kerana kami tahu menentang Kuching City bukanlah mudah. Mereka pasukan yang sukar," katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan.
Munoz turut memuji mentaliti dan komitmen anak buahnya, dengan mengatakan skuad itu tetap bertekad untuk terus menambah baik dan mengangkat standard yang dituntut oleh kelab.
"Kita perlu bersaing dan sentiasa cuba mengambil satu langkah ke hadapan. Inilah yang sentiasa dituntut bos (Tunku Mahkota Ismail) daripada kami.
"Saya amat bangga dengan pemain kerana semua berkongsi nilai yang sama. Kami sentiasa cuba mempertahankan jersi, peminat dan memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan," katanya.
Dalam perlawanan malam tadi, JDT terpaksa bekerja keras sebelum akhirnya memecahkan kebuntuan menerusi jaringan Marcos Guilherme pada minit ke-81 sebelum Arif Aiman mengesahkan kemenangan dengan gol pada minit ke-90.
Kemenangan itu menyaksikan JDT menjadi pasukan pertama yang merangkul kejuaraan Piala Malaysia selama empat musim berturut-turut, sekali gus meraih gelaran keseluruhan keenam selepas menjulang trofi berkenaan pada 2017, 2019, 2022, 2023 dan 2024-2025.
Arif Aiman yang kembali beraksi selepas hampir enam bulan berehat akibat kecederaan hamstring, turut dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan.
-- BERNAMA