KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah kepada skuad regu sepak takraw negara atas kejayaan menjuarai Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa, malam tadi.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata kejayaan itu bukan sahaja membanggakan arena sukan tanah air, malah membuktikan semangat juang, disiplin dan kesatuan tinggi mampu mengangkat nama Malaysia ke persada dunia.
"Kemenangan ini adalah hadiah bermakna buat seluruh rakyat Malaysia serta bukti bahawa anak watan memiliki keupayaan, ketahanan dan semangat luar biasa apabila membawa cabaran negara.
"Syabas wira negara, teruskan melakar kecemerlangan demi Malaysia tercinta!" katanya.
Dalam perlawanan akhir yang berlangsung malam tadi, Malaysia membuktikan Thailand bukan lagi kuasa yang mustahil ditewaskan apabila menundukkan musuh tradisi itu 2-1 pada aksi final penuh dramatik susulan tindakan Thailand menarik diri di Stadium Titiwangsa.