KUALA LUMPUR: Tiga lagi anggota delegasi pasukan bola sepak wanita Iran yang sebelum ini memohon suaka di Australia dilaporkan telah membuat keputusan untuk pulang ke Iran.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Australia, Tony Burke, pada Ahad berkata ketiga-tiga individu terbabit telah memaklumkan kepada pihak berkuasa tentang hasrat mereka untuk meninggalkan Australia dan kembali ke negara asal.
“Walaupun Kerajaan Australia memastikan peluang telah disediakan dan dimaklumkan kepada mereka, kami tidak boleh menafikan situasi yang melatari keputusan amat sukar yang perlu dibuat oleh para pemain tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan lain, menurut hantaran agensi penyiaran Iran, IRIB News, ketiga-tiga mereka dilaporkan telah tiba di KLIA Terminal 1, Kuala Lumpur, pagi tadi.
Hantaran tersebut turut memaparkan gambar kesemua pemain bergambar bersama di sebuah lokasi di Kuala Lumpur dengan Duta Besar Republik Islam Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi.
“(Mereka) telah menarik balik permohonan suaka mereka dan berhubung dengan kedutaan Iran di Malaysia,” lapor IRIB News.
Pada Rabu lalu, media melaporkan kira-kira 20 pemain pasukan bola sepak wanita Iran tiba di Kuala Lumpur dari Sydney selepas menyertai Kejohanan Piala Asia Wanita AFC 2026 di Australia.
Beberapa anggota delegasi lain memohon suaka kerana bimbang akan berdepan tindakan sekiranya pulang ke Iran.
Terdahulu, penyokong anti-Iran menimbulkan suasana panik apabila mendakwa tindakan pemain enggan menyanyikan lagu kebangsaan Iran sebelum perlawanan pembukaan boleh menjejaskan imej mereka.
Mereka bimbang pemain berkenaan mungkin dilabel sebagai pengkhianat oleh pihak berkuasa Iran.
Namun, difahamkan para pemain kemudian menyanyikan lagu kebangsaan dan memberi tabik hormat dalam dua baki perlawanan sepanjang kejohanan.
Situasi itu mendorong Kerajaan Australia menawarkan visa kemanusiaan kepada beberapa anggota delegasi, namun sebahagian daripada mereka memilih untuk tidak meneruskan permohonan tersebut.
Difahamkan kesemua mereka masih berada di Kuala Lumpur sementara menunggu penerbangan untuk pulang ke Tehran.
Ketegangan di Asia Barat susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran telah memberi fokus besar kepada pasukan tersebut, di mana ramai penyokong antarabangsa menonjolkan sikap pro‑monarki dan kritikal terhadap republik Iran.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei Hamaneh menyatakan kerajaan menanti kepulangan para pemain dengan tangan terbuka dan menegaskan mereka tidak perlu merasa takut untuk pulang ke tanah air