Skip to main content

Dunia

Presiden FIFA sahkan pasukan Iran akan beraksi di AS walaupun perang berterusan

Selepas pernyaataan ‘benar-benar tidak peduli’ oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebelum ini, Presiden FIFA, Gianni Infantino hari ini memaklumkan bahawa Trump menyambut baik penyertaan Iran ke Piala Dunia yang akan berlangsung di AS, Mexico dan Kanada tidak lama lagi. --stadiumastro
Infantino berkata penyertaan Iran dalam kejohanan itu amat penting, memandangkan pasukan berkenaan telah layak secara sah. - Foto fail/Stadium Astro

NEW YORK: Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino, menegaskan bahawa pasukan kebangsaan Iran “pasti akan datang” ke Amerika Syarikat (AS) untuk beraksi dalam Piala Dunia walaupun konflik peperangan masih berterusan.

Kenyataan itu dibuat empat hari selepas laporan menyebut bahawa FIFA telah menolak permintaan Iran untuk memindahkan perlawanan Piala Dunia mereka dari AS ke Mexico, dengan alasan kekangan logistik.

Berucap pada Forum 'CNBC’s Invest in America', Infantino berkata penyertaan Iran dalam kejohanan itu amat penting, memandangkan pasukan berkenaan telah layak secara sah.

“Pasukan Iran pasti akan datang, ya,” kata Infantino.

“Kami berharap menjelang kejohanan itu nanti, keadaan akan menjadi aman. Sudah tentu, itu akan banyak membantu. Tetapi Iran perlu datang. Mereka mewakili rakyat mereka. Mereka telah layak, dan para pemain mahu bermain.”

AS akan menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia akan datang bersama Kanada dan Mexico.

Mengikut jadual, Iran dijadualkan bermain dua perlawanan peringkat kumpulan di Inglewood, California, serta satu lagi perlawanan di Seattle.

Isu keselamatan pasukan Iran menjadi perhatian sejak konflik semasa tercetus, sehingga mencetuskan permohonan rasmi dari Tehran untuk memindahkan lokasi perlawanan mereka.

Namun FIFA menegaskan bahawa perubahan lokasi bukan sesuatu yang mudah dilaksanakan dalam perancangan kejohanan berskala besar seperti Piala Dunia.

Pendirian Infantino mencerminkan dasar FIFA yang menekankan pemisahan sukan daripada konflik politik, sambil menegaskan hak pasukan yang telah layak untuk bertanding.

Beliau juga memberi gambaran bahawa FIFA berharap keadaan geopolitik akan bertambah baik menjelang kejohanan tersebut.

Kenyataan itu dijangka meredakan kebimbangan terhadap status penyertaan Iran, di samping menegaskan bahawa persiapan Piala Dunia di Amerika Utara akan diteruskan seperti dirancang.
 

Must Watch Video