SANTOS, BRAZIL: Peluang Neymar untuk kembali menyarung jersi Brazil di Piala Dunia 2026 semakin samar apabila tonggak Santos itu berdepan risiko penggantungan sehingga 12 perlawanan.
Penyerang berusia 34 tahun itu sebelum ini sudah pun melalui laluan sukar untuk kembali ke dalam skuad kebangsaan selepas tidak disenaraikan oleh pengendali baharu, Carlo Ancelotti, bagi aksi antarabangsa terkini.
Situasi berkenaan kini bertambah rumit susulan kenyataan Neymar yang mengkritik pengadil Savio Pereira Sampaio selepas menerima kad kuning ketiga dalam tempoh empat perlawanan.
Insiden itu berlaku ketika Santos mencatat kemenangan 2-0 ke atas Remo, namun Neymar meluahkan rasa tidak puas hati selepas dilayangkan kad kuning apabila mendakwa dirinya dikasari pemain lawan, Diego Hernandez.
“Ia sentiasa perkara yang sama. Ia tidak adil. Saya dikasari dari belakang di penghujung perlawanan. Ini bukan kali pertama, mungkin kali ketiga atau keempat.
“Saya hanya mengadu kepadanya dan berkata, ‘Awak gila ke?’ Saya sudah pun menerima kad kuning. Tapi itu memang Savio. Saya fikir dia bangun pagi dalam keadaan tidak baik dan masuk ke perlawanan seperti itu,” kata Neymar.
Menurut Neymar, pengadil berkenaan sukar diajak berkomunikasi dan sering mengabaikan pemain ketika perlawanan berlangsung.
Kenyataan itu berpotensi mengundang hukuman disiplin lebih berat, mengambil kira kes lampau membabitkan pemain Red Bull Bragantino, Gustavo Marques, yang digantung 12 perlawanan susulan komen berunsur seksis terhadap pengadil wanita, Daiane Muniz.
Neymar turut mengkritik gaya pengadilan yang disifatkannya sebagai tidak menghormati pemain, sambil menegaskan isu berkenaan perlu diberi perhatian.
“Dia jenis pengadil yang mahu menjadi tumpuan perlawanan. Dia tidak menghormati pemain, bukan sahaja saya tetapi juga pemain Remo. Dia enggan berbincang atau berkomunikasi.
“Pengadil yang mengawal perlawanan perlu tahu menguruskan situasi. Pemain akan mengadu atau bertanya, itu perkara biasa dalam bola sepak,” katanya.
Sebagai kesan penggantungan automatik, Neymar dijangka terlepas aksi menentang Flamengo.
Beliau juga mengakui kecewa tetapi tidak terkejut diketepikan daripada skuad Brazil, dengan penampilan terakhirnya bersama pasukan kebangsaan adalah pada Oktober 2023. - Agensi