Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Perlumbaan F1 Bahrain, Arab Saudi dijangka dibatalkan

Krisis Timur Tengah: Perlumbaan F1 Bahrain, Arab Saudi Dijangka dibatalkan -- stadiumastro
- Foto Astro ARENA

DUA  perlumbaan penting dalam kalendar Formula Satu musim 2026 -- GP Bahrain dan Arab Saudi -- dijangka dibatalkan susulan konflik yang semakin memuncak di Asia Barat.

Menurut beberapa laporan media antarabangsa, keputusan itu dijangka diumumkan dalam masa terdekat selepas situasi keselamatan di rantau berkenaan semakin membimbangkan.

Perlumbaan di Bahrain yang dijadual berlangsung pada 12 April, diikuti perlumbaan di Jeddah, Arab Saudi pada 19 April, kini berdepan risiko besar selepas beberapa siri serangan ketenteraan di rantau tersebut meningkatkan kebimbangan terhadap keselamatan pasukan, pemandu dan kakitangan F1.

Konflik yang melibatkan serangan terhadap Iran serta serangan balas dron dan peluru berpandu di beberapa ibu kota Asia Barat, termasuk di Manama, Bahrain, menimbulkan persoalan mengenai keselamatan logistik dan perjalanan pasukan F1.

Situasi ini juga menjejaskan perancangan logistik kerana pasukan perlu menghantar peralatan perlumbaan ke Bahrain sebelum tarikh akhir penghantaran kargo pada 20 Mac. Jika keadaan tidak stabil, operasi penghantaran tersebut sukar dilaksanakan.

Sekiranya kedua-dua perlumbaan itu benar-benar dibatalkan, kalendar Formula Satu 2026 berkemungkinan dikurangkan daripada 24 kepada 22 perlumbaan sahaja.

Perkembangan ini juga akan mewujudkan jurang besar dalam jadual perlumbaan -- selepas GP Jepun pada 29 Mac, perlumbaan seterusnya hanya akan berlangsung di Miami  pada 3 Mei.

Setakat ini, pihak Fédération Internationale de l'Automobile (FIA) dan Formula Satu masih belum mengeluarkan pengumuman rasmi, namun keselamatan semua pihak dijangka menjadi faktor utama dalam membuat keputusan.

Sekiranya pembatalan itu disahkan, ia bakal menjadi antara gangguan terbesar kepada jadual perlumbaan F1 sejak beberapa tahun kebelakangan ini -- sekali gus menunjukkan bagaimana konflik geopolitik boleh memberi kesan besar kepada dunia sukan global.

Must Watch Video