TEHRAN: Iran tidak berada dalam kedudukan untuk mengambil bahagian dalam Piala Dunia 2026, kata Menteri Sukan dan Belia negara itu, Ahmad Donyamali.
Pasukan tersebut dijadualkan bermain tiga perlawanan peringkat kumpulan dalam kejohanan yang diadakan di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico, yang akan bermula pada 11 Jun.
Iran dijangka berdepan New Zealand dan Belgium di Los Angeles masing‑masing pada 15 dan 21 Jun, serta Mesir di Seattle pada 26 Jun.
Namun penyertaan mereka diragui sejak Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ke atas negara itu, yang mengorbankan pemimpin tertinggi Ayatollah Ali Khamenei.
Iran membalas dengan melancarkan peluru berpandu dan dron ke arah Israel dan negara lain yang menempatkan pangkalan tentera AS.
Terdahulu pada Rabu, Presiden Fifa, Gianni Infantino berkata, Presiden AS, Donald Trump memaklumkan bahawa Iran “dialu-alukan untuk bertanding” pada kejohanan musim panas ini.
Namun dalam satu wawancara dengan Rangkaian Sukan IRIB pada Selasa, Donyamali berkata: “Memandangkan kerajaan yang korup ini telah membunuh pemimpin kami, dalam apa jua keadaan sekalipun kami tidak mempunyai syarat yang sesuai untuk menyertai Piala Dunia.
“Pemain-pemain kita tidak selamat dan syarat untuk menyertai tidak wujud.”
Beliau menambah bahawa “sepanjang lapan atau sembilan bulan lalu, dua perang telah dikenakan ke atas kami dan beribu-ribu rakyat kami telah terbunuh dan menjadi syahid. Oleh itu, kami pasti tidak mempunyai kemampuan untuk menyertai.” - Agensi