Skip to main content

Dunia

FIFA jangka pendapatan AS$14 bilion bagi kitaran 2027–2030

A drone view of the Banorte Stadium, also known as Azteca Stadium, the venue that will host the opening match of the 2026 FIFA World Cup and become the first stadium to hold three World Cups (1970, 1986, 2026), in Mexico City, Mexico, March 17, 2026. REUTERS/Luis Cortes/File Photo
Pemandangan Stadium Banorte atau dikenali sebagai Stadium Azteca yang dirakamkan melalui dron. Stadium itu akan menjadi tuan rumah perlawanan pembukaan Piala Dunia FIFA 2026 dan bakal menjadi stadium pertama dalam sejarah yang menganjurkan tiga edisi Piala Dunia (1970, 1986, 2026), di Mexico City, Mexico, 17 Mac 2026. - Gambar fail Reuters

PARIS: Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) meramalkan pendapatan rekod sebanyak AS$14 bilion bagi kitaran 2027–2030, menurut kenyataan selepas mesyuarat Majlis pada Khamis, sekali gus menonjolkan kekuatan kewangan Piala Dunia lelaki ketika Presidennya, Gianni Infantino, menyeru keamanan di tengah ketegangan geopolitik global.

Pendapatan yang dijangka itu dan diluluskan sebulat suara sebagai sebahagian daripada Laporan Tahunan FIFA 2025, akan dilaburkan semula ke dalam pembangunan bola sepak. 

Pembiayaan pembangunan melalui program FIFA Forward dijangka mencecah AS$2.7 bilion pada kitaran seterusnya — peningkatan lapan kali ganda berbanding tempoh sebelum 2016.

“Inilah bukan sekadar angka, tetapi hasil yang nyata,” kata Infantino, sambil menambah bahawa kejayaan Piala Dunia membawa kepada lebih banyak peluang untuk pemain lelaki, wanita, dan remaja, peningkatan infrastruktur serta akses teknologi yang lebih meluas dalam kalangan semua ahli gabungan FIFA.

FIFA berkata, Piala Dunia kekal sebagai sumber pendapatan utama, membolehkan apa yang digambarkan Infantino sebagai “sumber luar biasa” disalurkan kembali kepada pembangunan global.

Pengumuman unjuran kewangan itu dibuat ketika Infantino sekali lagi menekankan peranan bola sepak dalam memupuk perpaduan.

“FIFA tidak boleh menyelesaikan konflik geopolitik, tetapi kami komited menggunakan kuasa bola sepak dan Piala Dunia FIFA untuk membina jambatan dan menggalakkan keamanan ketika memikirkan mereka yang menderita akibat peperangan yang sedang berlaku,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, FIFA menjangkakan Piala Dunia lelaki berformat baharu dengan 48 pasukan akan berlangsung seperti dijadualkan dan menyeru semua pasukan bertanding dengan “semangat permainan adil dan saling menghormati.”

Pada Rabu, ketua bola sepak Iran, Mehdi Taj berkata, pasukan kebangsaan Iran tetap meneruskan persiapan ke Piala Dunia dan tidak berniat menarik diri daripada kejohanan itu, sambil memaklumkan bahawa mereka telah meminta agar perlawanan mereka dimainkan di Mexico. - Agensi

Must Watch Video