Skip to main content

Politik

Rumah Bangsa: ‘Jangan musuhi UMNO hanya kerana perselisihan’ – Khaled

PASIR GUDANG, 21 Feb -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bercakap pada sidang media selepas Program Back To School Parlimen Pasir Gudang di Dewan Muafakat, Bandar Seri Alam hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mohamed Khaled berkata perselisihan dan kekhilafan adalah sesuatu perkara yang lumrah, apatah lagi jika ia berlaku dalam parti politik yang besar seperti UMNO. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Perselisihan dan kekhilafan adalah sesuatu perkara yang lumrah, apatah lagi jika ia berlaku dalam parti politik yang besar seperti UMNO, kata Naib Presidennya Datuk Seri Mohd Khaled Nordin

Namun, beliau menegaskan, perselisihan tersebut tidak seharusnya menjadikan parti, yang diibaratkan sebagai rumah untuk seluruh bangsa Melayu itu, sebagai sesuatu yang harus dimusuhi.

Katanya lagi, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, telah membuka ruang seluasnya untuk sesiapa sahaja yang telah meninggalkan UMNO untuk kembali ke pangkuan UMNO, dan seruan tersebut wajar disambut dengan sikap terbuka oleh semua pihak.

“Seruan ini lahir daripada kesedaran bahawa UMNO bukan sekadar sebuah pergerakan politik. Ia adalah benteng terpenting kelangsungan bangsa Melayu. Sejak penubuhannya, UMNO berperanan sebagai wadah yang melindungi, memajukan dan menyatukan orang Melayu.

“UMNO adalah ‘rumah besar’ yang didirikan untuk melindungi dan memajukan bangsa. Ia bukan milik sesiapa secara peribadi, sebaliknya rumah untuk seluruh bangsa Melayu. Rumah ini telah lama menyediakan bumbung dan ruang untuk bangsa Melayu berteduh, berkehidupan dan membangun persaingan. 

“Dalam sebuah keluarga besar, perselisihan dan kekhilafan adalah sesuatu yang lumrah. Bumi mana tidak ditumpahi hujan, langit mana yang tidak menyaksikan mega mendung berarak. Namun, perselisihan tersebut tidak seharusnya menjadikan rumah ini dimusuhi. Di persadanya kita semua pernah membesar, terdidik dan mendapat perlindungan,” katanya lagi.

Pada Jumaat lepas, UMNO mengumumkan langkah membuka pintu penyatuan tanpa syarat bagi mengajak bekas ahli yang pernah dipecat, digantung keahliannya yang berminat kembali menyertai perjuangan parti.

Ahmad Zahid berkata bulan yang penuh rahmat ini adalah waktu terbaik untuk memperkukuh tali ukhuwah dan mempertautkan kembali semangat perjuangan parti.

Pengumuman itu menerima respons positif, terutamanya daripada bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang menyatakan kesediaan untuk kembali ke parti itu.

Bagaimanapun, bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Isham Jalil yang dipecat pada 2023, menolak pelawaan itu, sebaliknya menggesa Ahmad Zahid untuk memohon maaf kepada mereka yang pernah dipecat atau digantung.

Dalam pada itu Khaled, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa berkata, walau UMNO diganti dengan rumah yang lain sekalipun, ia tidak akan setanding, apatah lagi lebih baik. 

Jelasnya lagi, hubungan UMNO dengan orang Melayu terlalu mendalam, bagai air yang dicincang tidak akan putus, selain berperanan sebagai pelantar yang menghubungkan sebuah penjajahan dengan sebuah kemerdekaan. 

“Ia mengangkat sebuah bangsa daripada kemiskinan kepada bangsa yang sejahtera serta memuliakan Islam sebagai sebuah agama berkemajuan. Dalam segala kebaikan dan kekurangannya, UMNO tetap menjadi benteng yang melindungi serta memelihara maruah bangsa.

“Justeru, saya menyeru semua yang pernah bersama UMNO agar kembali ke pangkuan parti. Rumah ini masih kukuh, bayunya masih seperti dahulu, dan hujan rintik terus dihias pelangi jua. 

“Kami yang tertinggal masih merindui semua kenangan dahulu sebagai sebuah keluarga,” katanya lagi.

Must Watch Video