Skip to main content

Politik

Rafizi didakwa tertekan, akan tinggalkan PKR - Ng Lum Yong

Ng Lum Yong
Lum Yong mendakwa, selepas Rafizi tidak lagi berpihak kepada Anwar, bekas Menteri Ekonomi itu mula mengeluarkan pelbagai kenyataan negatif terhadap Perdana Menteri - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Rafizi Ramli didakwa berdepan tekanan susulan kritikan pelbagai pihak yang melabelkan beliau sebagai “menteri paling gagal”, menurut pengasas PKR, Ng Lum Yong.

Lum Yong mendakwa, selepas Rafizi tidak lagi berpihak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas Menteri Ekonomi itu mula mengeluarkan pelbagai kenyataan negatif terhadap Perdana Menteri.

“Tindakan ini tidak wajar. Sebagai seorang ahli politik, Rafizi perlu bersikap profesional dan berprinsip. Beliau tidak sepatutnya mengkritik secara menyeluruh hanya kerana tidak lagi menyokong Anwar,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut Lum Yong, pihaknya menjangkakan Rafizi akan cuba membentuk naratif politik baharu susulan dakwaan kegagalannya dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menunaikan janji manifesto Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Beliau turut mendakwa beberapa inisiatif utama yang diperkenalkan, termasuk Pangkalan Data Utama (PADU) serta projek mesin layan diri bernilai ratusan juta ringgit, masih belum menunjukkan impak yang positif dan konsisten.

"Rafizi dijangka meninggalkan PKR," dakwanya lagi.

Rafizi sebelum ini menafikan label “menteri paling gagal” terhadap dirinya, sebaliknya mendakwa ia merupakan sebahagian daripada gerakan terancang oleh kumpulan tertentu bagi mengalihkan perhatian umum.

Bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata, serangan tersebut bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya digerakkan oleh pihak tertentu yang mempunyai pengaruh untuk membentuk persepsi negatif terhadap dirinya.

Sebelum ini juga , Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN), Prof Tajuddin Rasdi mendakwa Rafizi sebagai liabiliti kepada PH dan politik negara, manakala Angkatan Muda Keadilan (AMK) pula menyifatkan beliau sebagai hipokrit.

Dakwaan itu juga, menurut laporan, disokong oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan yang sebelum ini menyuarakan pandangan sama.

Must Watch Video