Skip to main content

Politik

Rafizi berisiko hilang Pandan seperti Azmin tewas di Gombak - AMK Pulau Pinang

KUALA LUMPUR, 17 Mei -- Bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli berucap pada Perhimpunan Hala Tuju Politik di PJ Perfoming Art Center hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Muhammad Zakwan menjelaskan, faktor lokaliti Pandan sebagai kawasan bandar turut memainkan peranan penting dalam menentukan sokongan pengundi. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Rafizi Ramli dijangka tewas di Parlimen Pandan jika PKR meletakkan figura kuat bertanding melawan bekas Menteri Ekonomi itu.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal berkata, situasi itu dilihat tidak mustahil berlaku sebagaimana nasib Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen Gombak pada PRU15.

Tegasnya, meskipun Rafizi mempunyai pengaruh tersendiri, parti baharunya iaitu Bersama Malaysia masih terlalu awal untuk dinilai dari segi kekuatan akar umbi dan jentera parti.

“Buat masa ini, terlalu awal untuk saya katakan beliau akan tewas di Pandan kerana partinya masih baharu dan belum teruji dari segi kekuatan akar umbi serta jentera.

“Tetapi jika PKR meletak satu figura yang kuat bertanding di kawasan tersebut. Saya yakin Rafizi akan tewas dengan majoriti yang tipis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada PRU15, Mohamed Azmin yang juga bekas Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri tewas di Parlimen Gombak kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, selepas menyandang kerusi itu selama tiga penggal atas tiket Pakatan Harapan (PH).

Dalam pada itu, Muhammad Zakwan menjelaskan, faktor lokaliti Pandan sebagai kawasan bandar turut memainkan peranan penting dalam menentukan sokongan pengundi.

"Pengundi di kawasan itu lazimnya cenderung memilih parti yang stabil serta mempunyai kekuatan untuk membentuk kerajaan.

“Jika dilihat dari sudut pengaruh politik, Azmin dan Rafizi mempunyai kekuatan yang hampir sama,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement