Skip to main content

Politik

PRN Johor: Senarai calon BN tular palsu, ikuti pengumuman di saluran rasmi - Onn Hafiz

Bernama & Threads @onnhafiz
Onn Hafiz mengingatkan orang ramai supaya sentiasa menyemak kesahihan maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya. - Gambar fail/media sosial

KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi mengesahkan senarai calon BN yang tular di media sosial, didakwa bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16, adalah palsu dan tidak benar.

Dalam satu kenyataan hari ini, Menteri Besar Johor itu menegaskan, sebarang pengumuman rasmi berkaitan calon BN hanya akan dibuat menerusi saluran rasmi parti.

"Dalam bahang pilihan raya ini, sudah pasti akan ada pelbagai bentuk fitnah, khabar angin, provokasi dan berita palsu yang cuba dimainkan oleh pihak-pihak tertentu bagi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat," katanya.

Onn Hafiz turut mengingatkan masyarakat supaya sentiasa menyemak kesahihan maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh Bangsa Johor agar mengamalkan sikap tabayyun, menyemak fakta dan mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi sebelum menerima atau menyebarkan sebarang berita.

"Marilah kita berpolitik secara matang, berakhlak dan bertanggungjawab. Jangan benarkan berita palsu memudaratkan keharmonian, kestabilan serta proses demokrasi di negeri Johor yang kita cintai," katanya.

Terdahulu, tular senarai nama calon BN yang dikatakan akan bertanding di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk nama Onn Hafiz selaku penyandang kerusi DUN Machap.

Pada 1 Jun lalu, Onn Hafiz mengumumkan pembubaran DUN Johor ke-15 berkuat kuasa serta-merta.

Jelasnya, pembubaran DUN selaras dengan peruntukan Fasal 23 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

Must Watch Video

Advertisement