KOTA BHARU: Setiausaha Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan Perikatan Nasional (PN) akan menganggap MIC menolak penyertaan ke dalam gabungan itu sekiranya tiada sebarang maklum balas rasmi diberikan dalam masa terdekat.
Menurut beliau, pihaknya telah memberikan ruang kepada MIC untuk membuat pengesahan sama ada menerima atau menolak tawaran menyertai PN, namun tempoh tersebut tidak akan dibiarkan berlarutan.
"MIC nak balas surat pun boleh, nak buat kenyataan pun boleh, tetapi jika tiada respon segera, kita anggap mereka menolak.
"Cuma kita hairan MIC kata buat masa ini mereka kekal dengan BN (Barisan Nasional) itu kena tanya dengan MIC, apa maksud mereka," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kelantan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Sabtu.
Takiyuddin mendedahkan, MIC melalui presidennya telah mengemukakan surat rasmi bertarikh 15 November 2025 kepada Pengerusi PN ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagi memohon untuk diterima sebagai ahli gabungan berkenaan.
Ujarnya, permohonan itu jelas, malah menggunakan perkataan ‘diterima masuk semula’ kerana MIC menganggap mereka antara pengasas PN.
"Kalau mereka kata tidak mohon, sila buktikan. Saya ada surat tersebut," katanya.
Beliau menjelaskan, permohonan itu telah dibincangkan dalam mesyuarat PN pada 9 Disember 2025 sebelum diluluskan, sekali gus menjadikan MIC sebagai parti anggota kelima selepas Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Gerakan dan Parti India Malaysia (MIPP).
Tambahnya, keputusan itu kemudian disahkan dalam mesyuarat pada 14 Mac lalu sebelum surat tawaran rasmi dihantar kepada MIC pada 23 Mac.
Bagaimanapun, Takiyuddin memberitahu, MIC menerusi mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) pada 25 Mac memutuskan untuk tidak menerima tawaran tersebut, walaupun tiada maklum balas rasmi dikemukakan kepada PN.
"Kalau mereka tidak mahu terima, tidak mengapa. PN bukan untuk dijual. Sesiapa yang mahu menyertai perlu memohon, dan yang tidak mahu, itu pilihan mereka," ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata keputusan MIC itu tidak menjejaskan kekuatan PN, memandangkan gabungan berkenaan sebelum ini berjaya meraih 74 kerusi Parlimen tanpa penyertaan parti tersebut.
"Mereka hanya ada satu Ahli Parlimen, jadi tidak beri kesan besar kepada PN.
"Jika mereka mahu kekal dengan BN, itu pilihan mereka dan PN tiada masalah," katanya.
Dalam pada itu, Takiyuddin memaklumkan PN turut menerima beberapa permohonan daripada parti politik lain yang berminat untuk menyertai gabungan berkenaan dan kini dalam proses penelitian.
Sinar Harian pada 17 Mac lalu melaporkan, MIC belum memuktamadkan sebarang keputusan untuk parti itu menyertai PN.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan berkata, sebarang keputusan mengenai perkara tersebut hanya boleh ditentukan oleh Majlis Tertinggi (MT) parti itu.
Menurutnya, bagaimanapun sehingga kini tiada keputusan dicapai terhadap penyertaan ke dalam gabungan pembangkang itu. -- Sinar Harian