KUALA LUMPUR: Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Kedah menyahut iltizam Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadikan negeri Jelapang Padi itu sebagai kubu utama parti.
Pengarah Komunikasi MPN Kedah Tunku Nashrul Abaidah berkata, proses pengukuhan akan digerakkan secara berfokus melalui perancangan strategik, pengukuhan organisasi, serta kesatuan kepimpinan dan anggota di setiap cabang.
Katanya, PKR berada pada tahap lebih tersusun, justeru keutamaan adalah memastikan struktur parti diperkasa lengkap dengan kesiapsiagaan jentera di semua peringkat.
Beliau turut menekankan bahawa parti itu mesti terus dekat dengan rakyat melalui kefahaman terhadap realiti setempat dan menyantuni masyarakat tanpa mengira latar belakang.
"Pendekatan politik parti di Kedah akan kekal berasaskan fakta, penyelesaian yang jelas, keutamaan rakyat, serta prinsip tadbir urus yang adil dan telus,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Pada masa sama, beliau turut menyatakan PKR Kedah akan menggabungkan pengalaman pimpinan terdahulu dengan semangat generasi baharu bagi memastikan gerak kerja parti menjadi lebih berkesan dan berterusan.
Tambahnya, MPN Kedah turut komited untuk menjadi alternatif terbaik bagi rakyat negeri, dengan menampilkan kepimpinan yang berintegriti dan berprinsip.
“Keutamaan parti adalah memastikan PKR kekal dekat dengan rakyat serta mengangkat tadbir urus yang adil, telus dan berwibawa,” kata Tunku Nashrul.
Untuk rekod, PKR hanya memenangi satu kerusi iaitu di Parlimen Sungai Petani yang disandang oleh Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.
Untuk Dewan Undangan Negeri pula, PKR hanya memenangi dua kerusi iaitu Bau Wong Bau Ek (Sidam) dan Adam Loh Wei Chai (Bakar Arang).