KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menegaskan beliau kekal setia dengan parti itu walaupun menerima pelbagai tawaran daripada parti politik lain selepas dipecat.
Menurutnya, sejak meninggalkan UMNO, beliau tidak menyertai mana-mana parti lain meskipun menerima pelawaan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, daripada hampir semua parti utama di Malaysia.
“Saya kata tidak kepada mereka kerana pilihan pertama saya adalah untuk kembali kepada UMNO,” katanya dalam podcast Keluar Sekejap yang disiarkan pada Rabu.
Mengulas cadangan penubuhan gerakan baharu, Khairy berkata beliau melihat isu tersebut dalam konteks lebih luas, termasuk fenomena fragmentasi politik Melayu yang semakin ketara ketika ini.
Katanya, perpecahan kepada terlalu banyak parti politik Melayu telah memberi kesan terhadap kekuatan dan “leverage” politik Melayu, sama ada dari sudut persepsi mahupun realiti.
“Bukan bermaksud saya mahukan satu parti Melayu yang monolitik, itu juga tidak sihat. Tetapi apabila perpecahan terlalu besar, kita kena terima hakikat bahawa kedudukan politik Melayu semakin berkurang,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau mengakui terdapat kelemahan dan kesilapan dalam UMNO, khususnya pada Pilihan Raya Umum 2018, namun masih yakin dengan asas perjuangan parti tersebut.
Khairy mengibaratkan UMNO sebagai sebuah rumah yang mempunyai asas dan kerangka kukuh, yang masih boleh diperbaiki dan diperkukuhkan.
“Jika dihias dengan baik dan diperbetulkan oleh semua pihak, insya-Allah ia akan dilihat dalam konteks yang berbeza berbanding sebelum ini,” katanya.
Beliau menegaskan masih percaya kepada kekuatan asas UMNO serta potensinya untuk kembali diperkasa.