Skip to main content

Politik

Noh Omar umum letak jawatan ahli MPT Bersatu

Noh umum letak jawatan ahli MPT Bersatu - SINAR
Noh berkata, pendirian itu dibuat susulan kecewa dengan tindakan Lembaga Disiplin yang didakwa tidak menghormati keputusan mesyuarat MPT Bersatu yang berlangsung pada 12 Januari lalu.

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Noh Omar mengumumkan peletakkan jawatan beliau berkuat kuasa serta merta pada Sabtu.

Noh berkata, pendirian itu dibuat susulan kecewa dengan tindakan Lembaga Disiplin yang didakwa tidak menghormati keputusan mesyuarat MPT Bersatu yang berlangsung pada 12 Januari lalu.

Ujar beliau, mesyuarat berkenaan diadakan bagi membincangkan mengenai penangguhan semua tindakan disiplin ke atas ahli Bersatu.

“MPT telah pun buat keputusan bahawa semua tindakan disiplin hendak ditangguhkan, jadi persoalannya mengapa Lembaga Disiplin terus mengambil tindakan kepada ahli-ahli Bersatu?

“Apa guna MPT parti bermesyuarat tetapi keputusan MPT tidak dihormati oleh Lembaga Disiplin?

“Oleh kerana Lembaga Disiplin mengambil tindakan tidak menghormati keputusan MPT, maka saya umumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tinggi Bersatu mulai hari ini,” katanya menerusi hantaran video di Facebook pada Sabtu.

Menurut Noh, dalam usaha mengembalikan perpaduan dalam Bersatu, mesyuarat pengukuhan parti turut diadakan sebanyak tiga kali sebelum ini.

“Kita telah pun merancang bagaimana cara hendak mengembalikan perpaduan parti Bersatu, tetapi sebelum ia dilaksanakan, tiba-tiba Lembaga Disiplin telah mengambil tindakan.

“Sepatutnya tindakan disiplin tidak boleh diambil kepada ahli parti yang telah membuat kenyataan sebelum mesyuarat MPT,” ujarnya.

Bekas Pengerusi UMNO Selangor itu turut menyatakan kekecewaan terhadap tindakan disiplin yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

“Saya pernah menasihati Saifuddin yang hendak mengadakan program jelajah di Pahang dan beliau setuju batalkan program tersebut.

"Malangnya, Saifuddin telah dipecat. Masa itu, kami masih belum jelas mengenai hala tuju berkaitan tindakan disiplin," menurutnya.

Kata beliau, semua parti berhak mengambil tindakan terhadap ahlinya, namun ia mesti dilaksanakan mengikut Perlembagaan parti.

“Saya lihat apa yang berlaku dalam Bersatu ini adalah ia tidak mengikut Perlembagaan. Saya punya prinsip perjuangan ialah tiada sesiapa mengatasi undang-undang.

“Sebab itu semasa saya dalam UMNO dulu, apabila tindakan disiplin diambil terhadap saya tidak mengikut Perlembagaan parti, saya minta dipecat terus,” kata beliau. - Sinar Harian

Must Watch Video