Skip to main content

Politik

MIC belum buat keputusan muktamad sertai PN

51710758619_DatukMSaravanan.jpg
Saravanan berkata, MIC masih kekal status quo sebagai komponen Barisan Nasional. - Gambar fail

IPOH: MIC belum memuktamadkan sebarang keputusan untuk parti itu menyertai Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan berkata, sebarang keputusan mengenai perkara tersebut hanya boleh ditentukan oleh Majlis Tertinggi (MT) parti itu.

Menurutnya, bagaimanapun sehingga kini tiada keputusan dicapai terhadap penyertaan ke dalam gabungan pembangkang itu.

"Saya rasa mungkin ada salah faham. Kita dah cakap dari awal hanya MT yang akan buat keputusan tetapi setakat ini MT belum buat keputusan.

"Disember tahun lalu kita hanya hantar surat kepada Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) untuk tahu apa bentuk peranan yang mereka tawarkan kepada kita," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Saravanan berkata, sehubungan itu MIC masih kekal status quo sebagai komponen Barisan Nasional.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan PN menawarkan peranan dan kedudukan yang lebih baik kepada MIC sekiranya parti itu menyertai gabungan berkenaan sebagai parti anggota.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya akan menyerahkan surat rasmi kepada MIC bagi memaklumkan penerimaan parti itu sebagai parti anggota dalam gabungan berkenaan.

Menurutnya, satu pertemuan bersama Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran diatur di Kuala Lumpur pada malam Selasa bagi menjelaskan keputusan tersebut. - Sinar Harian

Must Watch Video