KUALA LUMPUR: Semua pihak diminta bertenang dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mencetuskan ketegangan susulan kemelut yang berlaku di Negeri Sembilan.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menegaskan, isu berkenaan dilihat berkait dengan adat dan budaya negeri itu, justeru pendekatan berhati-hati perlu diambil bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih rumit.
“Kita memohon kepada semua pihak supaya bertenang dan tidak membuat sebarang komen yang tidak perlu kerana apa yang berlaku di Negeri Sembilan adalah isu yang melibatkan adat dan budaya yang diamalkan di negeri tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media Operation Cyber Guardian 2026 Di Bukit Aman pada Khamis.
Menurutnya lagi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memastikan tahap keselamatan dan ketenteraman awam di negeri itu berada dalam keadaan terkawal.
“Kita sebagai pasukan keselamatan sentiasa memastikan keselamatan dan ketenteraman di Negeri Sembilan sentiasa terkawal dan kita akan buat yang terbaik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan terdapat beberapa laporan dibuat berkaitan isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja) susulan perkembangan tersebut.
“Memang ada banyak laporan dibuat berkaitan ketidakpuasan hati. Kita akan mulakan siasatan dan tentukan tindakan selanjutnya,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua pihak agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian, sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara profesional.
Konflik politik di Negeri Sembilan tercetus apabila Pengerusi UMNO Negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias, yang juga ADUN Pertang, membuat pengumuman 14 ADUN BN-UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan negeri dan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, pada Ahad lalu.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan lalu, BN menang di 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 17 kerusi yang ditandingi manakala Pakatan Harapan (PH) pula memenangi 17 kerusi, yang mana DAP (11), PKR (lima) dan Parti Amanah Negara (Amanah) (satu).
Perikatan Nasional (PN) pula menang di lima kerusi iaitu DUN Paroi, Serting, Gemas, Bagan Pinang dan Labu.