KUALA LUMPUR: Cadangan supaya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor ditangguhkan perlu dinilai secara realistik khususnya jika alasan penangguhan itu dikaitkan dengan faktor geopolitik semasa.
Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Fuziah Salleh berkata perkara itu perlu mengambil kira tempoh had sesuatu pilihan raya boleh ditangguhkan dan implikasi yang terlibat.
“Sekiranya sebab mahu ditangguhkan itu kerana keadaan geopolitik, haruslah kita sedar keadaan geopolitik akan mengambil masa, tiada tempoh tertentu bila berakhir.
“Begitu juga dengan menangguhkan pilihan raya, ia juga ada tempoh tamatnya, bukan boleh ditangguh sampai bila-bila,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu dalam program terbitan Bernama Radio, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata beliau akan membawa usul bagi menangguhkan PRN Johor dan PRN Melaka ke Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO susulan krisis geopolitik di Asia Barat.
Selain itu, Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong yang juga Pengerusi DAP negeri mencadangkan supaya kerajaan Melaka mengemukakan petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat bagi menangguhkan PRN negeri itu susulan krisis bekalan tenaga.
Mengulas lanjut, Fuziah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata sebarang keputusan berkaitan PRN perlu mengambil kira realiti semasa serta tidak boleh ditangguhkan tanpa had, dan parti politik perlu bersedia untuk berdepan pilihan raya apabila tiba waktunya.
“Let's face it when we need to face it (terima hakikat walaupun sukar), hadapi situasi dengan realistik,” katanya.
Penggal lima tahun Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dijangka tamat pada Disember ini, manakala DUN Johor pada April tahun hadapan.
Sementara itu, Fuziah berkata PKR telah menerima beberapa aduan rasmi berhubung insiden berkaitan mesyuarat cabang parti itu, termasuk cabang di Puchong, Selangor yang didakwa berlaku sedikit kekecohan.
Beliau berkata semua aduan itu akan diteliti oleh satu jawatankuasa khas sebelum sebarang keputusan rasmi dibuat.
“Setakat ini Pejabat Setiausaha Agung belum membuat keputusan sama ada nak mengesahkan atau membatalkan mesyuarat cabang tersebut. Kita masih kena teliti satu persatu, sebabnya tidak adil kalau kita hanya menerima laporan daripada satu pihak,” katanya.
Menurut laporan media, Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) PKR cabang Puchong pada 19 April lepas berlangsung dalam keadaan tidak teratur dan berlaku kekecohan, sekali gus mendorong pimpinan akar umbi menuntut agar mesyuarat itu dibatalkan dan diadakan semula.
-- BERNAMA