KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengecam keras serangan Israel ke atas Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 baru-baru ini dengan menyifatkannya sebagai amat membimbangkan, sama sekali tidak boleh diterima dan merupakan pencabulan terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa.
Beliau berkata intervensi bersenjata itu bukan sahaja menghalang penghantaran bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza, malah turut menyebabkan penahanan 175 aktivis pro-Palestin yang terlibat dalam misi berkenaan.
“Tindakan sedemikian merupakan pelanggaran serius terhadap norma undang-undang antarabangsa dan prinsip kemanusiaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Johari berkata Dewan Rakyat memandang serius insiden tersebut dan menggesa Israel supaya segera membebaskan semua individu yang ditahan secara tidak sah.
“Penggunaan kekerasan yang berterusan terhadap inisiatif kemanusiaan yang tidak bersenjata hanya memburukkan lagi keadaan kemanusiaan yang sedia buruk serta menjejaskan usaha global ke arah keamanan dan kestabilan,” katanya.
Johari turut menyatakan solidariti bersama masyarakat antarabangsa dalam menyokong mereka yang terlibat dalam misi kemanusiaan itu, sambil menegaskan Dewan Rakyat kekal komited terhadap prinsip keadilan, maruah kemanusiaan dan kedaulatan undang-undang.
Beliau berkata ketua-ketua parlimen di seluruh dunia, badan antara parlimen serta organisasi antarabangsa digesa supaya mengambil pendirian yang berprinsip dan bersatu menentang keganasan yang berterusan.
“Amat penting untuk menamatkan keganasan terhadap rakyat Palestin, memastikan akses kemanusiaan yang selamat dan tanpa halangan ke Gaza, serta memastikan pihak yang bertanggungjawab terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa dipertanggungjawabkan,” katanya.
Johari turut mengulangi komitmen Malaysia untuk terus memperjuangkan keadilan dan keamanan yang berkekalan berdasarkan undang-undang antarabangsa serta hak asasi rakyat Palestin.
Semalam, Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata 175 aktivis GSF 2.0 termasuk 10 rakyat Malaysia telah diculik dan dibawa ke Israel melalui laut menggunakan kapal milik rejim Zionis.
-- BERNAMA
TAG: Johari Abdul, Israel, , serangan, kemanusiaan, Dewan Rakyat