Skip to main content

Malaysia

Wanita OKU ditemukan rentung terperangkap dalam rumah terbakar

Sumber: TB_J ARUL KUMAR
Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) ditemukan rentung selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah teres di Taman Mantin Baharu, Seremban, semalam.

SEREMBAN: Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) ditemukan rentung selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah teres di Taman Mantin Baharu, di sini, semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan memaklumkan, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian membabitkan mangsa berusia 32 tahun itu pada 11.33 malam.

“Kebakaran melibatkan rumah teres berkeluasan 20x65 kaki persegi yang musnah sepenuhnya. Mangsa ditemukan rentung dalam bilik utama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, operasi pemadaman yang membabitkan 14 pegawai dan anggota ditamatkan pada 11.50 malam selepas kebakaran berjaya dikawal.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J Arul Kumar berkata, ketika kejadian mangsa yang menghidap strok dan lumpuh separuh badan itu dipercayai sedang tidur manakala adik lelakinya tidak berada di rumah.

“Mangsa hanya tinggal berdua bersama adiknya di rumah tersebut dan ketika kejadian adiknya keluar untuk membeli makanan sebelum dimaklumkan rumahnya terbakar.

"Menurut jiran, dia terdengar suara wanita meminta tolong tetapi orang ramai tidak tidak dapat masuk untuk menyelamatkannya kerana api sedang marak dan pintu rumah pula tertutup,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video