Skip to main content

Malaysia

Timbalan CEO SSM didakwa lagi, terima RM13,000 tanpa balasan

KUALA LUMPUR, 12 Mac -- Pegawai kanan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Khuzairi Yahaya, 55, (dua, kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menerima wang RM50,000 tanpa balasan daripada anak bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin, lapan tahun lepas.  Khuzairi menjawat jawatan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, (Pendaftaran & Perkhidmatan Perniagaan) SSM, didakwa menerima untuk dirinya suatu benda berharga dengan tiada balasan iaitu wang tunai RM50,000 daripad
Khuzairi (tengah) mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud. -Foto fail/Bernama

SHAH ALAM: Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) (Pendaftaran dan Perkhidmatan Perniagaan) Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM13,000 tanpa balasan daripada usahawan teknologi kira-kira lapan tahun lepas.

Khuzairi Yahaya, 55, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Berdasarkan pertuduhan, Khuzairi Yahaya didakwa menerima untuk dirinya suatu benda berharga tanpa balasan iaitu wang tunai berjumlah RM8,000, RM2,000 dan RM3,000 daripada Ketua Pegawai Eksekutif Big Dataworks Sdn Bhd Sheriza Zakaria yang tertuduh ketahui mempunyai hubungan dengan urusan rasminya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Kota Damansara, Petaling Jaya; sebuah hospital di Kota Damansara, Petaling Jaya dan sebuah restoran makanan segera di Mutiara Damansara, Petaling Jaya antara Julai 2017 hingga Jun 2018. 

Beliau didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan [Akta 574] yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semalam, Khuzairi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menerima wang RM50,000 tanpa balasan daripada anak bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin, lapan tahun lepas.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Muaz Ahmad Khairuddin memohon agar kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama pertuduhan yang dihadapi tertuduh semalam.

“Kami juga memohon supaya jumlah jaminan sama seperti yang ditetapkan di Kuala Lumpur turut diguna pakai bagi kes ini,” katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya Asmaa’ Zamri.

Hakim Awang Kerisnada kemudian membenarkan kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan menetapkan 20 April untuk sebutan semula kes.

Khuzairi diwakili peguam bela Azamuddin Abd Aziz.

-- BERNAMA

Must Watch Video