Skip to main content

Malaysia

Tiga suspek termasuk dua wanita ditahan, cuba rempuh polis

Kereta_PDRM
Naazron berkata, kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu berlaku ketika sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Tampin, Negeri Sembilan menjalankan operasi. - Gambar tular/PDRM

KAJANG: Tindakan sebuah kenderaan dinaiki tiga individu termasuk dua wanita cuba merempuh anggota polis ketika ditahan memaksa pihak berkuasa melepaskan beberapa das tembakan dalam kejadian di Dusun Tua, Hulu Langat, malam Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu berlaku ketika sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin, Negeri Sembilan menjalankan operasi menahan suspek.

Menurutnya, anggota terbabit terpaksa melepaskan tembakan selepas berdepan ancaman ketika cuba menahan tiga suspek, berusia 31 hingga 38 tahun, yang berada di dalam sebuah kenderaan di lokasi kejadian. 

“Polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan bersama dua wanita tempatan. 

“Semakan mendapati suspek lelaki mempunyai enam rekod jenayah dan tiga rekod berkaitan narkotik. 

“Salah seorang suspek wanita pula memiliki empat rekod jenayah serta 11 rekod narkotik, manakala seorang lagi mempunyai enam rekod jenayah dan dua rekod narkotik,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad. 

Naazron berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan digunakan suspek memakai nombor pendaftaran palsu.

Katanya, polis turut merampas beberapa unit telefon bimbit dan alat kawalan jauh kenderaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes disiasat IPD Tampin, Negeri Sembilan. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Must Watch Video

Advertisement