KUALA LUMPUR: Kerajaan setakat ini belum mengadakan perbincangan mengenai cadangan untuk mengurangkan kuota subsidi petrol RON95 menerusi program Budi MADANI (BUDI95) dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, tumpuan kerajaan ketika ini adalah memastikan mekanisme subsidi sedia ada kekal berfungsi secara berkesan dalam melindungi rakyat daripada tekanan kos sara hidup, terutama susulan ketidaktentuan harga pasaran global.
"Setakat ini tidak ada perbincangan mengenai apa-apa pengurangan kuota BUDI95.
"Kita sedang fokus kepada pelaksanaan dan penambahbaikan kaedah pengurusan subsidi supaya lebih bersasar dan mengurangkan ketirisan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran laporan Malaysia Economic Monitor bertajuk Raising the Ceiling, Raising the Floor: The Jobs Agenda as a Productivity Agenda di Asia School of Business, di sini, pada Khamis.
Menurut beliau lagi, kerajaan kini memberi tumpuan kepada langkah mitigasi termasuk penambahbaikan mekanisme subsidi diesel yang sedang dilaksanakan menerusi kaedah seperti BUDI.
Katanya, sebarang perubahan dasar berkaitan subsidi bahan api akan diumumkan secara rasmi selepas dimuktamadkan kerajaan.
"Bila keputusan dibuat, kita akan umum secara jelas. Buat masa ini, fokus adalah kepada pelaksanaan dan penambahbaikan sistem sedia ada," katanya.
Akmal turut menjelaskan pendekatan subsidi ketika ini perlu mengambil kira keseimbangan antara kebajikan rakyat dan kedudukan fiskal negara supaya kekal mampan, khususnya ketika berdepan tekanan harga tenaga global.