Skip to main content

Malaysia

[TERKINI] Zamri Vinoth mengaku tidak bersalah buat kenyataan timbulkan kegentaran awam

Kuala Lumpur , 17 Mac 2026. Pendakwah bebas, Zamri Vinoth diiringgi anggota polis untuk didakwa di Mahkamah Majistret Jenayah.Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menuduh empat individu yang didakwa terbabit dalam kejadian mencetuskan provokasi dan memainkan sentimen perkauman serta agama sejak kebelakangan ini.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Zamri Vinoth tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada jam 9.15 pagi dengan berpakaian sut dalam keadaan bergari sambil diiringi anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM). - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR

KUALA LUMPUR: Penyelaras Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH), Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu, mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan atas pertuduhan berkaitan satu hantaran di Facebook pada 3 Februari lalu.

Zamri Vinoth didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Jenayah 9, di sini, hari ini.

Majistret Faezahnoor Hassan menetapkan ikat jamin sebanyak RM4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 29 April bagi penyerahan dokumen.

Terdahulu, Zamri Vinoth tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada jam 9.15 pagi dengan berpakaian sut dalam keadaan bergari sambil diiringi anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mengikut kertas pertuduhan, hantaran tersebut berpotensi menimbulkan kegentaran awam dan mendorong orang lain melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Nordin Ismail, mencadangkan ikat jamin sebanyak RM10,000 memandangkan lebih 100 laporan polis telah diterima berhubung hantaran itu.

Peguam, Muhammad Hariz Md Yusoff yang mewakili Zamri Vinoth ketika penghujahan mitigasinya, memohon budi bicara mahkamah memandangkan anak guamnya mempunyai lapan tanggungan.

“Lima anaknya masih bersekolah, manakala isterinya menghidap long COVID yang memerlukan rawatan, selain beliau turut menanggung kedua ibu bapanya,” kata Hariz.

Pada masa sama, Hariz menafikan dakwaan bahawa Zamri Vinoth melarikan diri ke Thailand. 

Sebaliknya, anak guamnya berada di sana atas urusan kerja pada 9 Mac dan kembali ke tanah air pada 12 Mac lalu.

Menurutnya, Zamri Vinoth sering ke Thailand untuk menguruskan pasangan yang ingin bernikah di luar negara dan telah mendapat kerjasama antara Majlis Agama Islam Songkhla serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPS).

Anak guamnya yang juga pendakwah bebas turut menjalankan perniagaan pakaian terpakai (bundle) di Songkhla.

“Anak guam saya memasuki negara melalui saluran yang sah, sekali gus menunjukkan beliau tidak pernah berniat melarikan diri dan sentiasa bersedia menghadirkan diri di mahkamah yang mulia ini,” katanya.

Rakan-rakan dan penyokong Zamri Vinoth turut hadir bagi memberikan sokongan serta mengikuti prosiding kes berkenaan.

Must Watch Video