KUALA LUMPUR: Pengisytiharan bencana kemarau di daerah Tawau yang diumumkan pagi tadi, ditarik balik selepas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah mengesahkan keadaan semasa tidak lagi memenuhi kriteria bencana seperti yang ditakrifkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tawau, Datuk Joseph Pang, yang juga Pengerusi Majlis Perbandaran Tawau, berkata keputusan itu dibuat berdasarkan semakan dan pemantauan terkini oleh pihak berkuasa.
"Bekalan air serta keadaan cuaca di kawasan Tawau masih dalam keadaan terkawal dan stabil. Namun begitu kekurangan air di bahagian Pulau Sebatik sahaja semakin membimbangkan.
"Pihak berkuasa akan terus menjalankan perbincangan semula dan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan keadaan kekal terkawal.
"Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat lama yang tidak lagi sahih. Sentiasa merujuk kepada saluran rasmi bagi mendapatkan maklumat terkini. Terus mengamalkan penggunaan air secara berhemah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pagi tadi, JPBD Tawau mengisytiharkan daerah itu dilanda bencana kemarau, melibatkan kawasan Pulau Sebatik.