Skip to main content

Malaysia

Tebus guna tanah tidak dibenar jika jejaskan rakyat - PM Najib

81503743380_PulauPinangPenang.jpg
Kerajaan Pusat tidak akan meluluskan sebarang projek pembangunan tebus guna tanah khususnya di selatan Pulau Pinang  sekiranya ia  didapati  menjejaskan rakyatnya serta tidak mesra alam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak berkata, kerajaan tidak menolak cadangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang  untuk melaksanakan projek tambakan laut  bagi membentuk tiga buah pulau buatan itu, namun ia perlu memenuhi tiga kriteria utama yang ditetapkan kerajaan pusat.

Tegasnya semua projek mestilah tidak merugikan rakyat, bersifat mesra alam dan menjimatkan wang rakyat.

“Saya nak menyatakan pendirian Kerajaan Pusat adalah  berdasarkan kepada dua kriteria yang penting iaitu pertama sekali sebarang projek mestilah tidak memberi impak dan kerugian yg besar kepada masyarakat.

“Yang kedua ia mesti mesra alam, lestari alam dan kalau boleh mempunyai alternatif menjimatkan pebelanjaan duit rakyat,” kata PM Najib dalam ucapannya  pada majlis Jamuan Rakyat anjuran UMNO Bahagian Balik Pulau di Politeknik Balik Pulau, di sini hari ini yang dihadiri kira-kira 5,000 penduduk sekitar.

PM Najib berkata, pihaknya akan membuat keputusan dengan bijaksana demi kepentingan rakyat dan bukannya bermotifkan politik walaupun Pulau Pinang ditadbir pembangkang.

“Saya kira projek seperti ini mesti penuhi dua syarat. Saya tidak mahu pendirian Kerajaan Pusat disalahkan ertikan semata-mata atas dasar politik.

“Kita menolak sesuatu cadangan oleh kerajaan negeri kerana kerajaan negeri merupakan dari parti pembangkang. Ini bukan pendirian kita, kerana  kalau kita berpendirian seperti itu tidak banyak projek pembangunan kita bawa ke Pulau Pinang walaupun Pulau Pinang di bawah pembangkang,” kata beliau.

Kerajaan negeri sebelum ini mengumumkan pelaksanaan projek tambakan laut seluas kira-kira 1,800 hektar di Permatang Damar Laut yang  bernilai RM46 bilion bagi membina tiga pulau buatan untuk tujuan pembangunan.

Must Watch Video