KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa tidak berkenan terhadap penyebaran spekulasi di media sosial berhubung penetapan tarikh sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Baginda bertitah, andaian dan ramalan tanpa asas mengenai tarikh Aidilfitri boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam serta memberi gambaran seolah-olah penetapan tarikh boleh dibuat secara sembarangan.
Sehubungan itu, baginda menasihatkan orang ramai supaya bersabar dan tidak mudah mempercayai sebarang maklumat tidak rasmi, sebaliknya merujuk kepada kenyataan pihak berkuasa agama.
“Baca dan fahami kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor serta khutbah Jumaat yang menyentuh perkara ini,” titah baginda dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Baginda menegaskan bahawa pengumuman rasmi tarikh Hari Raya Aidilfitri hanya akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada Khamis, 19 Mac selepas mendapat perkenan Majlis Raja-Raja, selaras dengan amalan yang telah lama diamalkan di negara ini.
Menurut baginda, Malaysia mempunyai kaedah tersendiri dalam menentukan permulaan Ramadan dan Syawal melalui kaedah rukyah dan hisab yang dilaksanakan secara tersusun serta berpandukan keputusan pihak berkuasa agama yang berwibawa.
Titah baginda, kaedah tersebut telah lama dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja dan tidak seharusnya dibandingkan atau dipengaruhi dengan penetapan yang dibuat oleh negara lain.
Baginda turut merujuk kepada penjelasan Jabatan Mufti Negeri Selangor pada 10 Mac lalu yang menyatakan bahawa permulaan bulan Islam ditentukan berdasarkan kenampakan hilal serta data kedudukan bulan ketika cerapan dilakukan di sesebuah negara.
Menurut baginda, setiap negara mempunyai matla’ ru’yah yang berbeza dalam menentukan permulaan bulan Hijrah.
Dalam pada itu, baginda mengingatkan umat Islam agar tidak terlalu taksub membincangkan tarikh Hari Raya sehingga mengabaikan peluang merebut keberkatan pada sepuluh malam terakhir Ramadan.
Tempoh tersebut, titah baginda, merupakan waktu yang amat berharga untuk memperbanyakkan ibadah, berdoa dan memohon keampunan daripada Allah SWT.