Skip to main content

Malaysia

Sultan Selangor gesa kerajaan negeri segera tangani isu banjir

SHAH ALAM, 20 April -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-15 tahun 2025 di Dewan Negeri Selangor hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Sultan Sharafuddin berkenan menyampaikan titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat DUN Selangor ke-15 tahun 2025 di Dewan Negeri Selangor hari ini. - Foto Bernama

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sekali lagi menasihati kerajaan negeri supaya memberi keutamaan penuh terhadap usaha menangani masalah banjir dengan perancangan rapi dan tindakan segera yang lebih berkesan.

Sultan Sharafuddin turut bertitah bahawa sebelum ini, baginda telah beberapa kali menggesa kerajaan negeri supaya mendapatkan pandangan serta kepakaran daripada pakar antarabangsa, khususnya dari Belanda, bagi merangka pendekatan terbaik dalam mengatasi isu banjir yang berlarutan.

“Isu banjir yang telah berpuluh kali beta nasihatkan untuk diselesaikan dengan segera. Namun malangnya, nasihat beta tidak dipeduli dan tidak diambil berat, diibaratkan seperti mencurah air ke daun keladi sahaja.

“Beta difahamkan bahawa setiap tahun akan ada peruntukan dari belanjawan negeri bagi mengatasi masalah banjir namun tiada hasil berkesan dapat dilihat hingga hari ini. Banjir tetap berlaku di beberapa kawasan terutama di kawasan perumahan…sehingga menyusahkan rakyat beta,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian bersempena dengan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-15 tahun 2026 di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin bertitah agar Sungai Klang dibersihkan demi memastikan rakyat, yang populasinya semakin meningkat saban tahun, dapat menikmati bekalan air bersih untuk minuman serta kegunaan harian.

“Beta tidak akan jemu untuk terus bertitah agar tindakan diambil sehingga masalah banjir dan bekalan air bersih ini diselesaikan serta ditamatkan once and for all (buat selama-lamanya), ” titah baginda.

Baginda turut berkenan mencadangkan agar kerajaan negeri memberi tumpuan lebih serius terhadap pembangunan industri sisa kepada tenaga memandangkan sektor tersebut merupakan antara pemacu utama masa depan dunia dalam menangani cabaran pengurusan sisa dan keperluan tenaga lestari.

Selain itu, Sultan Sharafuddin turut menitahkan keperluan untuk melaksanakan pendekatan lebih sistematik, bersepadu dan berkesan dalam menangani isu jalan berlubang di negeri itu, agar masalah asas tersebut tidak lagi menjadi rungutan rakyat.

Menyentuh isu penternakan babi, Sultan Sharafuddin bertitah bahawa baginda telah menghuraikan beberapa faktor mengapa aktiviti tersebut tidak sesuai dijalankan di Selangor, antaranya kekangan keluasan tanah serta lokasi penternakan yang berhampiran kawasan penempatan padat umat Islam.

Isu pencemaran sungai dan udara turut menjadi antara sebab utama ketidaksesuaian penternakan babi di negeri itu.

“Namun demikian, masih terdengar rungutan daripada beberapa pihak yang seolah-olah tidak berpuas hati dan enggan untuk mematuhi titah beta.

“Bagi maksud itu, beta telah menyarankan agar isu ini diselesaikan dengan mengimport daging babi dari luar, terutamanya dari Sarawak, untuk bekalan kaum bukan Islam yang memerlukannya,” titah baginda.

Sementara itu, Sultan Selangor menasihati pemimpin dan ahli politik untuk bergabung tenaga di samping mengetepikan segala perbezaan pandangan politik dalam memajukan negara serta rakyat pada masa ekonomi yang tidak menentu kini.

“Beta melihat sejak akhir-akhir ini orang-orang politik dan pemimpin politik terlalu banyak berpolitik.  Kesannya adalah kepada rakyat sebab mereka akan merasa keliru dengan isu-isu yang sering dipolitikkan seterusnya boleh mengakibatkan perpecahan.

“Marilah kita sama-sama menggalas tanggungjawab dengan penuh amanah, jujur dan penuh keikhlasan demi memastikan Selangor terus maju, makmur serta sejahtera,” titah baginda.

-- BERNAMA

Must Watch Video