Skip to main content

Malaysia

Suami isteri maut kemalangan babit tiga kenderaan di Mersing

kemalangan
Pasangan suami isteri maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 19 Jalan Endau-Mersing petang tadi.

MERSING: Pasangan suami isteri maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 19 Jalan Endau-Mersing di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Mersing Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan kemalangan melibatkan kereta Perodua Myvi, Toyota Innova dan Chery Omoda itu kira-kira 5.10 petang. 

Beliau berkata mangsa Muhammad Firdaus Muhamad Bustaman, 24, dan Siti Nur Aisyah Anoor Beet Babjan Kahar, 23, yang beralamat di Taman Kota Masai, Pasir Gudang cedera parah pada beberapa bahagian badan serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Myvi dinaiki Muhammad Firdaus dan Siti Nur Aisyah menuju ke Mersing hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan serta melanggar Toyota Innova dan Chery Omoda. Keadaan ketika itu hujan lebat,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Abdul Razak berkata pemandu Toyota Innova patah jari kaki kanan dan isterinya cedera ringan manakala pemandu Chery Omoda, seorang warga emas berusia 75 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Sheral Anuar Mawarday dalam kenyataan berasingan berkata Pasukan Keluaran Operasi berjaya mengeluarkan dua mangsa daripada kereta Perodua Myvi menggunakan peralatan khas.

“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement