Skip to main content

Malaysia

SPM 2025: Kehadiran calon meningkat, ketidakhadiran menurun

81735787208_SPM.jpg
Trend peningkatan kehadiran calon adalah hasil pelbagai inisiatif dan intervensi dilaksanakan KPM bersama pihak berkepentingan, termasuk pengesanan awal pelajar berisiko tercicir. - Gambar hiasan

PUTRAJAYA: Jumlah calon yang tidak hadir menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 menurun kepada 7,099 orang berbanding 8,108 pada 2024 sekali gus menunjukkan peningkatan kadar kehadiran tahun ini.

Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Mohd Azam Ahmad berkata penurunan sebanyak 1,009 calon atau 0.39 mata peratusan itu mencerminkan trend positif dalam penyertaan pelajar.

Sementara itu katanya, seramai 395,740 calon mendaftar bagi sekurang-kurangnya enam mata pelajaran, dengan 348,400 daripada mereka dari sekolah Kementerian Pendidikan (KPM), hadir menduduki peperiksaan, mewakili kadar kehadiran 98.58 peratus.

“(Bagi sekolah KPM) kadar ketidakhadiran calon sekolah KPM menurun daripada 1.81 peratus (6,246 calon) pada 2024 kepada 1.42 peratus pada 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman keputusan peperiksaan SPM 2025 di sini, pada Selasa.

Menurut beliau, antara faktor calon tidak hadir termasuk komitmen kerja, berpindah ke luar negara, terlibat dalam kemalangan, masalah keluarga, isu kesihatan, kesukaran pengangkutan, kematian ahli keluarga serta ditahan pihak berkuasa.

Beliau menegaskan peningkatan ini adalah hasil pelbagai inisiatif dan intervensi dilaksanakan KPM bersama pihak berkepentingan, termasuk pengesanan pelajar berisiko tercicir seawal tingkatan empat atau permulaan tingkatan lima melalui sistem kementerian yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Selain itu, sekolah turut memainkan peranan penting melalui program bersasar bagi pelajar yang menghadapi masalah kehadiran atau berisiko tercicir, di samping sokongan berterusan daripada guru dan pihak pengurusan sekolah.

Must Watch Video