Skip to main content

Malaysia

Serangan udara IDF berhampiran Pos MALBATT di Selatan Lubnan, tiada anggota cedera

KUALA LUMPUR, 12 Mac -- Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bercakap kepada media selepas Majlis Pengumuman Dividen Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi Tahun Kewangan 2025 hari ini.  LTAT isytihar dividen 5.35 peratus, RM524.74 juta bagi tahun kewangan 2025, tertinggi dalam tempoh lapan tahun.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, serangan pertama berlaku kira-kira jam 2.35 pagi waktu tempatan pada 13 Mac 2026, dengan jarak anggaran antara 100 hingga 200 meter dari Pos Kawalan MALBATT 850-13. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Serangan udara oleh Israel Defence Forces (IDF) dilaporkan berlaku berhampiran kedudukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 di kawasan operasi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), selatan Lubnan, awal pagi Jumaat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, serangan pertama berlaku kira-kira jam 2.35 pagi waktu tempatan pada 13 Mac 2026, dengan jarak anggaran antara 100 hingga 200 meter dari Pos Kawalan MALBATT 850-13.

"Serangan tersebut dipercayai menyasarkan sebuah jambatan yang melintasi Sungai Litani sebelum satu lagi serangan susulan pada jam 3.02 pagi mengakibatkan kerosakan pada beberapa fasiliti serta penginapan anggota di kawasan berkenaan." katanya dalam satu kenyataan.

Ketika kejadian, seorang pegawai bersama lapan anggota lain-lain pangkat MALBATT 850-13 yang berada di Pos Kawalan telah diarahkan oleh Tactical Operations Centre (TOC) MALBATT untuk berundur sebagai langkah keselamatan.

Pasukan itu kemudian bergerak bersama 12 anggota Angkatan Tentera Lubnan ke lokasi selamat dan tiba pada jam 4.12 pagi waktu tempatan.

Menurutnya, tiada kecederaan dilaporkan melibatkan anggota MALBATT mahupun pasukan Lubnan, dan semua persenjataan serta peralatan berada dalam keadaan selamat. Pemeriksaan kesihatan turut dijalankan bagi memastikan semua anggota berada dalam keadaan baik dan kekal bersiap siaga.

Kementerian Pertahanan menegaskan keselamatan anggota Angkatan Tentera Malaysia yang melaksanakan misi pengaman di luar negara sentiasa menjadi keutamaan kerajaan, dan pihak Markas Angkatan Bersama akan terus memantau perkembangan situasi dengan kerjasama UNIFIL serta pasukan pengaman lain di kawasan operasi.

Must Watch Video