KUALA KANGSAR: Penggunaan bahan kitar semula seperti tin minuman terpakai selain bahan semula jadi seperti buluh dan rotan menjadi antara elemen utama yang ditonjolkan julung-julung kalinya dalam pertandingan Pesta Panjut Kuala Kangsar 2026.
Pekan Kuala Kangsar yang begitu sinonim dengan nyalaan ribuan pelita panjut menjelang Aidilfitri kini meriah dengan penyertaan lapan agensi kerajaan dan satu badan bukan kerajaan selain membabitkan penyertaan lebih 13 kampung.
Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Perak (UPEN) Halizah Sipun, yang juga antara juri pertandingan, berkata aspek kreativiti menjadi satu daripada kriteria utama penjurian termasuk cara mereka menterjemahkan reka bentuk tertentu seperti ikon bangunan ke dalam bentuk panjut selain menonjolkan kerjasama antara peserta.
“Selain itu dari segi penggunaan bahan sebab kita menggalakkan penggunaan bahan tempatan, bahan-bahan terpakai ataupun bahan semula jadi seperti buluh dan rotan... dan saya tengok ada yang menggunakan tin minuman yang telah dikitar semula... itu adalah sesuatu yang kita galakkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meneliti dan menilai beberapa panjut milik agensi kerajaan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, UPEN serta wakil Kampung Sayong Hulu di sini semalam.
Haliza juga berkata berdasarkan pemerhatian, penggunaan bahan kitar semula dalam pembinaan panjut oleh peserta dianggarkan sekitar 25 hingga 35 peratus.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar Sakduddin Zamli pula berkata program itu dilaksanakan hasil peruntukan kerajaan negeri berjumlah RM100,000 yang disalur melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung bagi menyokong penyertaan kampung dan agensi terlibat.
“Peruntukan yang digunakan bagi membantu persediaan pembinaan panjut termasuk mendapatkan bahan seperti buluh, pelita dan kos bahan api untuk menyalakan panjut.
“Sebahagian peruntukan itu juga digunakan bagi tujuan pengadilan dan perbelanjaan lain termasuk kos bahan api yang agak tinggi ketika ini dengan satu panjut yang dibina memerlukan sehingga 100 liter bahan api,” katanya.
Pengerusi Kampung Sayong Hulu Affandi Aziz, 39, berkata pertandingan itu menyerlahkan kerjasama antara penduduk dengan penglibatan kira-kira 15 hingga 20 anak jati kampung yang mengambil masa kira-kira dua hingga tiga minggu untuk menyiapkan panjut.
“Alhamdulillah... dengan program yang ada untuk komuniti kampung saya ini, saya rasa mereka lebih akrab, lebih memberi kerjasama dan mengeratkan silaturahim.
“Selain itu, proses mendapatkan bahan mentah dari hutan turut menjadi cabaran, lebih-lebih lagi ketika penduduk menjalani ibadah puasa namun semangat kerjasama tetap ditunjukkan apabila kerja-kerja persediaan dilakukan pada waktu siang dan disambung semula selepas solat tarawih sehingga projek itu berjaya disiapkan,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak Loh Sze Yee memaklumkan pertandingan itu dibahagikan kepada dua kategori membabitkan agensi dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung.
Beliau berkata keputusan rasmi pertandingan dijadualkan hari ini di Persisiran Sayong.
Juara akan membawa pulang RM5,000 diikuti RM4,000 bagi tempat kedua dan RM3,000 untuk ketiga manakala sagu hati RM500.
-- BERNAMA