SHAH ALAM: Hebahan keselamatan jalan raya sempena sambutan Aidilfitri akan dipaparkan di 20 skrin LED milik pihak berkuasa tempatan (PBT) di beberapa kawasan perbandaran di Selangor bagi meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya sepanjang musim perayaan.
Timbalan Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Selangor, Datuk Mohd Yazid Sairi berkata, paparan mesej keselamatan yang dibekalkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu disiarkan secara berkala antaranya di Petaling Jaya, Selayang, Ampang Jaya, Kuala Selangor, Sepang dan Kuala Langat.
Beliau berkata inisiatif dengan kerjasama PBT itu bertujuan menyampaikan peringatan keselamatan kepada orang ramai secara lebih meluas, khususnya ketika peningkatan pergerakan trafik sempena Aidilfitri.
“Di Selangor, pihak PBT mempunyai skrin LED untuk tujuan promosi dan pemakluman kepada orang ramai, jadi kita ambil peluang untuk paparkan pesanan mengenai keselamatan jalan raya di kawasan perbandaran masing-masing.
“Paparan berbentuk pesanan yang dibekalkan JPJ itu akan dilaksanakan sepanjang musim perayaan dan dipaparkan secara berkala mengikut kitaran yang ditetapkan oleh pihak PBT,” katanya dalam sidang media Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Hari Raya Aidilfitri 2026 di Terminal Bas Seksyen 17, di sini, malam tadi.
Sementara itu, Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, pihaknya turut melaksanakan pemeriksaan berkala terhadap bas di depoh dan terminal bagi memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat sebelum perjalanan.
Menurutnya, tahap kesedaran penumpang terhadap pemakaian tali pinggang keselamatan juga semakin baik, dengan pemandu bas memberi peringatan sebelum perjalanan bermula selain pemantauan melalui penyamaran anggota JPJ di dalam bas.
Berkuat kuasa 1 Julai 2025, JPJ mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar bagi semua pemandu dan penumpang bas ekspres serta persiaran dan boleh disaman RM300 jika gagal berbuat demikian.
-- BERNAMA