Skip to main content

Malaysia

Selangor akan umum inisiatif bantu subsektor pembuatan, perkhidmatan

SHAH ALAM, 28 April -- Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari semasa menjawab soalan ketika Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Selangor Yang Ke - 15 Tahun 2026 di Dewan Negeri Selangor hari ini  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari semasa menjawab soalan ketika Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Selangor Yang Ke - 15 Tahun 2026 di Dewan Negeri Selangor hari ini. - Foto BERNAMA

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor akan melancarkan beberapa inisiatif baharu bagi membantu memperkukuh dua subsektor utama negeri, iaitu pembuatan dan perkhidmatan dalam mendepani impak krisis bekalan global, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata inisiatif itu akan dirangka bagi meningkatkan daya saing industri dan memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

Katanya langkah itu juga merupakan kesinambungan daripada Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor yang diumumkan sebelum ini, memberi tumpuan kepada kos sara hidup, inflasi dan perlindungan kumpulan rentan.

“Seterusnya, (selepas pelancaran pakej itu) kita akan cuba mengekalkan dua subsektor utama di Selangor, iaitu perkhidmatan dan pembuatan yang perlu dipertahankan. Insya-Allah, dalam bulan depan (inisiatif itu akan diumumkan).

“Invest Selangor Bhd sudah mengadakan perbincangan. Kita akan melancarkan beberapa inisiatif supaya industri ini dapat dipertahankan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih serta Menjunjung Kasih Titah Ucapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Dewan Negeri Selangor di sini.

Amirudin berkata kelangsungan operasi industri amat penting bagi memastikan rakyat terus mempunyai peluang pekerjaan dan sumber pendapatan yang stabil. 

“Apabila industri ini kekal berjalan, rakyat masih mendapat peluang pekerjaan dan pendapatan. Inilah yang selalu saya sebutkan dan kita kena mempertahankan ekonomi yang bermaruah,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri turut mengalu-alukan cadangan daripada semua wakil rakyat untuk mengukuhkan lagi inisiatif sedia ada dan memastikan pelaksanaan langkah yang lebih berkesan dalam menangani cabaran ekonomi semasa.

Sebelum ini, Amirudin berkata Invest Selangor akan mengadakan sesi libat urus dengan sektor utama seperti perkhidmatan dan pembinaan sebagai sebahagian daripada usaha memperkasakan ketahanan ekonomi di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2.

Beliau mengumumkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor sebagai inisiatif kerajaan negeri untuk memperkukuh ketahanan ekonomi bagi mendepani cabaran ketidaktentuan global.

Pakej itu memberi tumpuan kepada langkah sokongan segera merangkumi bantuan bersasar kepada rakyat serta pengukuhan aktiviti ekonomi tempatan yang turut melibatkan penyelarasan pelbagai agensi bagi memastikan keberkesanan intervensi dan impak terus kepada kumpulan sasar di Selangor.  

-- BERNAMA

 

Must Watch Video