Skip to main content

Malaysia

Sarawak teliti strategi perkukuh kawalan rabies - Dr Sim

KUCHING, 11 Nov -- Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pelancongan Perubatan Antarabangsa 2025, hari ini.  -- fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Dr Sim berkata perbincangan telah diadakan dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak bagi merangka pelan tindakan bersepadu. - Gambar fail/Bernama

KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak sedang meneliti pendekatan berkesan bagi mempertingkat usaha mengawal rabies, khususnya kes jangkitan melibatkan kucing.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata perbincangan telah diadakan dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak bagi merangka pelan tindakan bersepadu.

“Rabies terus menjadi ancaman yang serius di Sarawak dengan kira-kira separuh daripada kes gigitan dan cakaran yang dilaporkan melibatkan kucing, selain anjing terbiar.

“Pada masa ini, cabaran utama dalam kawalan rabies ialah pemvaksinan kepada kucing, yang lebih mencabar kerana haiwan terbabit mudah mencakar dan air liurnya berpotensi membawa virus berbahaya itu,” katanya kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra anjuran pemimpin komuniti dan ketua masyarakat kawasan Parlimen Petra Jaya di sini hari ini.

Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak turut mengingatkan orang ramai supaya tidak memandang ringan ancaman rabies serta sentiasa mengambil langkah pencegahan termasuk memastikan haiwan peliharaan mereka divaksin secara berkala.

“Tindakan segera perlu diambil sekiranya digigit anjing atau dicakar kucing termasuk membersihkan luka dengan air dan mendapatkan rawatan di klinik untuk pemeriksaan serta vaksinasi.

“Vaksin rabies untuk manusia kini boleh diperoleh di klinik, sekali gus membolehkan rawatan diberikan dengan cepat dan berkesan,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video