SHAH ALAM: Rumah bekas Pengarang Wanita Berita Harian (BH) Zubaidah Abdul Rahman antara yang musnah dalam kebakaran melibatkan dua rumah teres dua tingkat di Jalan Meranti 3/7, Seksyen 3, di sini hari ini.
Perkara itu disahkan anaknya Iskandar Alang Zainuddin @ Iskandar Alang Bendahara.
“Syukur ibu saya selamat dan hanya melecur ringan pada badan. Ibu saya kini dirawat di Hospital Shah Alam,” katanya menerusi WhatsApp.
Zubaidah, 84, ialah isteri kepada bekas Editor Sukan BH dan Presiden Penulis-Penulis Sukan Malaysia Allahyarham Zainuddin Bendahara.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata sebanyak 22 anggota dan pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam dan BBP Bukit Jelutong digegaskan ke lokasi selepas menerima panggilan mengenai insiden pada 8.23 malam.
“Bomba yang tiba lima minit kemudian mendapati rumah pertama musnah kira-kira 90 peratus (rumah Zubaidah) manakala rumah kedua terbakar 50 peratus.
“Kejadian turut memusnahkan sebuah kereta yang terbakar 80 peratus dan kerja-kerja pemadaman sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Ahmad Mukhlis, kejadian menyebabkan seorang mangsa cedera ringan manakala seorang lagi melecur tahap dua ketika cuba menyelamatkan diri.
Sementara itu, anak Zubaidah iaitu Iskandar Muda Zainuddin, 55, yang turut melecur kira-kira lima peratus di bahagian tangan berkata kejadian berlaku ketika mereka sedang berbuka puasa bersama.
“Kami menyedari terdapat asap kira-kira 7 malam. Kami percaya kebakaran itu berpunca daripada litar pintas yang bermula dari wayar meter Tenaga Nasional Berhad.
“Kami semua sempat keluar dari rumah, namun mengalami kecederaan ketika cuba merempuh laluan untuk menyelamatkan diri menyebabkan ibu melecur di bahagian belakang badan,” katanya.
Iskandar Muda berkata dia hanya sempat membawa dompet dan telefon bimbit keluar dari rumah manakala barangan penting milik Zubaidah seperti kad bank dan dokumen lain musnah dalam kebakaran itu, yang menyebabkan ibunya kini tinggal sehelai sepinggang.
-- BERNAMA