Skip to main content

Malaysia

Rosmah kata ‘Can I say something?’ ketika bicara saman barang kemas

71738575601_RosmahMansor.jpg
Isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu berkata demikian ketika memberi keterangan selaku defendan tunggal dalam kes berkenaan di hadapan Hakim, Datuk Quay Chew Soon. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes saman AS$14.57 juta (RM58 juta) oleh Global Royalty Trading SAL berhubung lebih 40 barang kemas, mencuri perhatian Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, apabila Datin Seri Rosmah Mansor secara spontan mencelah dengan berkata, 'Can I say something?'

Isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu berkata demikian ketika memberi keterangan selaku defendan tunggal dalam kes berkenaan di hadapan Hakim, Datuk Quay Chew Soon.

Ia mengingatkan ungkapan popular yang dikaitkannya dengan ayat ‘Can I advise you something?’ dalam satu siasatan kes membabitkan bekas Ahli Parlimen Pekan berusia 73 tahun itu, sebelum ini.

Semasa memberi keterangan, Rosmah, 75, berkata, semua langkah munasabah telah diambil bagi menjaga barang kemas antaranya rantai berlian, cincin, gelang tangan dan tiara, yang dihantar kepadanya, lapan tahun lalu.

“Bagaimanapun semua barang kemas itu bukan lagi dalam milikan saya kerana semuanya telah dirampas oleh pihak polis,” katanya.

Menjawab soalan peguam, Datuk David Gurupatham yang mewakili syarikat dari Lubnan selaku plaintif, Rosmah berkata, ketika itu beliau sering menerima barang kemas mencecah jutaan ringgit tanpa sebarang dokumen.

Peguam itu kemudian memintanya menjawab soalan berhubung penerimaan barang kemas mencecah RM67 juta.

“Maaf, saya sedang berfikir, jangan ganggu dan beri saya masa untuk menjawab semua itu.

“Anda tanya sama ada saya menerimanya sepanjang masa tanpa dokumen, betul? Jawapannya, ya,” kata Rosmah.

Beliau mengakui tidak dapat mengingati jumlah sebenar koleksi barang kemas yang dimilikinya, walaupun terdapat laporan bahawa 12,000 pelbagai barangan telah dirampas polis dalam serbuan pada 2018.

Katanya, jumlah sebenar barang kemas yang dirampas tidak diketahui kerana tidak berada di rumah ketika serbuan dilakukan.

Rosmah berkata, pihak berkuasa mengambil semua barang tersebut kemudian membuat kenyataan.

Ketika ditekan mengenai jumlah sebenar barangan berkenaan, Rosmah dilihat semakin gelisah.

Rosmah: Boleh saya cakap sesuatu?

David: Ayat itu macam pernah dengar.

Ketika prosiding bela diri kes rasuah membabitkan projek hibrid solar di hadapan Hakim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) pada23 Disember 2021, Rosmah menafikan rakaman audio 'can i advise you something' merupakan suaranya selain menyatakannya sebagai sesuatu yang 'merepek'.

Pada 29 Mei 2023, Global Royalty memfailkan saman itu, mendakwa Rosmah telah berbohong dengan mengatakan bahawa 44 barang kemas yang dihantar oleh ejen syarikat telah disita oleh pihak berkuasa Malaysia.

Sitaan dibuat bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Syarikat itu selaku plaintif mendakwa Rosmah mengalihkan beban kepada kerajaan Malaysia sedangkan barang kemas itu sebenarnya telah hilang. - Sinar Harian

 

 

Must Watch Video