IPOH: Seorang remaja maut selepas motosikal yang ditunggang dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke dalam longkang di Jalan Pasar, Kampar malam tadi.
Mangsa, Lew Rok Yew, 17 tahun, yang mengalami kecederaan parah di kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud memaklumkan, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu pada jam 10.08 malam.
“Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati, sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC telah berada di dalam longkang dan mangsa terbaring di sebelah kenderaan itu dengan kecederaan parah di kepala,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat bagaimana kemalangan itu berlaku.
Menurutnya, motosikal berkenaan adalah milik ayah mangsa dan kejadian berlaku di jalan yang berselekoh.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kampar untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.