KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia di tanah air menzahirkan doa buat warganegara Malaysia di Asia Barat menerusi platform Threads susulan peningkatan serangan udara dan ketegangan di rantau itu pada Sabtu.
Pengguna Threads addyyyy dalam hantarannya mengingatkan rakyat Malaysia untuk kekal selamat, mengambil semua langkah berjaga-jaga yang perlu dan “terus memaklumkan Malaysia mengenai situasi di sana”.
“Kepada semua rakyat Malaysia di Asia Barat, ketahuilah bahawa kami di tanah air mendoakan keselamatan anda. Anda sentiasa dalam ingatan dan doa kami,” katanya.
Seorang lagi pengguna Threads, jmhaffiz dalam hantarannya berkata: “Semoga Allah melindungi rakyat Malaysia di Timur Tengah.”
Pengguna lain, farah_azhar berkata rakyat Malaysia di Asia Barat supaya kekal selamat.
“Kami doakan keselamatan anda,” tambahnya.
Pengguna Threads, fakhiraali berkata penerbangan pulang dari Madinah ke Kuala Lumpur telah dibatalkan susulan krisis di Asia Barat.
“Sesiapa yang membaca hantaran ini, mohon doakan kami. Berharap dapat pulang secepat mungkin,” menurut beliau di Threads.
Pengguna e.f.k_thurs pula memuat naik hantaran, kekal selamat kepada semua rakyat Malaysia di Asia Barat termasuk dirinya sendiri.
“Saya berharap semua rakan sekerja yang tidak dapat menaiki penerbangan dan mereka yang sepatutnya kembali ke Doha tetapi penerbangan dilencongkan, akan selamat di mana jua anda berada,” katanya.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan Israel menyerang beberapa bandar di Iran termasuk Tehran, Isfahan dan Qom. Iran bertindak balas dengan menyerang kepentingan Amerika Syarikat di beberapa negara di Asia Barat.
-- BERNAMA