Skip to main content

Malaysia

PuTERA35: Pro Solar pacu usahawan bumiputera dalam tenaga hijau

sokongan mara memacu bumiputera dalam industri solar
Secara keseluruhannya, program Pro Solar dilihat sebagai platform strategik dalam memperkasa usahawan Bumiputera serta memperluas penyertaan mereka dalam industri tenaga boleh baharu yang semakin penting pada masa hadapan.

KUALA LUMPUR: Program khas Pro Solar di bawah inisiatif PUTERA35 oleh Majlis Amanah Rakyat dilihat membuka peluang baharu kepada usahawan Bumiputera untuk menceburi industri tenaga boleh baharu yang semakin berkembang.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha MARA dalam melahirkan usahawan berkemahiran tinggi dalam sektor berimpak tinggi, khususnya tenaga hijau, selari dengan agenda pembangunan ekonomi Bumiputera jangka panjang.

Pengarah Pejabat MARA Negeri Melaka, Shah Zulmizan Safar, berkata program tersebut memberi tumpuan kepada industri “high growth, high value” yang mempunyai potensi besar tetapi masih kurang diterokai.

Menurut beliau, ramai usahawan berminat untuk menceburi bidang solar, namun berdepan kekangan modal dan kurang pendedahan teknikal.

“Program Pro Solar ini dirangka secara menyeluruh merangkumi latihan, kemahiran teknikal serta peluang kepada usahawan untuk terlibat secara langsung dalam industri, termasuk pemasangan dan penyelenggaraan sistem solar,” katanya.

Tambah beliau, program ini juga memberi ruang kepada usahawan Bumiputera untuk membina perniagaan dalam sektor tenaga lestari yang semakin mendapat permintaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Litar Abadi Engineering (M) Sdn Bhd, Muhammad Hamzi Rusli, berkata syarikatnya turut memainkan peranan dalam memperkukuh ekosistem industri melalui pembangunan bakat tempatan.

Menurutnya, peluang latihan dan pekerjaan diberikan kepada lepasan institusi TVET termasuk kolej dan institut di bawah MARA, sebelum diserap sebagai kakitangan tetap atau kontrak berdasarkan prestasi.

“Selain itu, kami turut menyediakan latihan berkaitan tenaga boleh baharu, khususnya solar, serta bekerjasama dengan institusi pendidikan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan tenaga hijau,” jelasnya.

Usaha ini bukan sahaja membantu melahirkan tenaga kerja mahir, malah memberi pendedahan kepada masyarakat tentang bagaimana penggunaan solar dapat menjimatkan kos dan menyokong pembangunan mampan negara.

Secara keseluruhannya, program Pro Solar dilihat sebagai platform strategik dalam memperkasa usahawan Bumiputera serta memperluas penyertaan mereka dalam industri tenaga boleh baharu yang semakin penting pada masa hadapan.

Mereka berkata demikian dalam program PuTERA35. 

Must Watch Video