Skip to main content

Malaysia

Program kebersihan haji, perkukuh disiplin dan kesejahteraan jemaah - Zulkifli

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan (kanan) melancarkan  Program Kebersihan Bangunan Penginapan di Mekah dan Program Kebersihan Masyair bagi musim Haji 1447H/2026M di Abraj Janadriyah, Mekah, 23 Mei 2026. Foto Astro AWANI
Zulkifli (kanan) melancarkan Program Kebersihan Bangunan Penginapan di Mekah dan Program Kebersihan Masyair bagi musim Haji 1447H/2026M di Abraj Janadriyah, Mekah, 23 Mei 2026. - Foto Astro AWANI

MEKAH: Tabung Haji memperkukuh usaha meningkatkan kesejahteraan jemaah haji Malaysia menerusi pelancaran Program Kebersihan Bangunan Penginapan di Mekah dan Program Kebersihan Masyair bagi musim Haji 1447H/2026M.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, kedua-dua inisiatif yang dilaksanakan sejak 2017 itu bukan sahaja membantu meningkatkan tahap kebersihan operasi haji, malah turut diiktiraf Kerajaan Arab Saudi sebagai program nilai tambah oleh jemaah Malaysia.

Menurut beliau, langkah tersebut mencerminkan komitmen berterusan Tabung Haji dalam memastikan aspek kebajikan, keselesaan dan kesihatan jemaah sentiasa diberi perhatian, khususnya dalam persekitaran berisiko tinggi seperti kawasan Masyair yang padat dengan jutaan jemaah.

“Kebersihan bukan hanya isu pengurusan, tetapi tuntutan agama dan sebahagian daripada iman. Ia mencerminkan akhlak serta tanggungjawab kita sebagai tetamu Allah,” katanya ketika berucap melancarkan program itu di Abraj Janadriyah, di sini.

Beliau berkata, program berkenaan bukan sekadar aktiviti asas, sebaliknya bertujuan membudayakan disiplin menjaga kebersihan dalam kalangan jemaah dan petugas sepanjang musim haji.

Katanya, ia melibatkan pengurusan kebersihan penginapan, ruang awam, surau serta pengurusan sisa pepejal dan makanan di Makkah, selain memberi tumpuan khusus kepada kebersihan khemah, laluan pejalan kaki dan penggunaan kemudahan di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Zulkifli turut menegaskan bahawa persekitaran yang bersih bukan sahaja memberi keselesaan kepada jemaah, malah membantu mengurangkan risiko penyakit berjangkit serta isu kesihatan awam dalam keadaan cuaca panas dan kesesakan tinggi.

Selain itu, usaha tersebut selari dengan aspirasi Kerajaan Arab Saudi dalam mempertingkatkan standard pengurusan dan kebersihan di Tanah Suci di bawah inisiatif Visi Saudi 2030.

Beliau berharap program tersebut bukan sahaja dapat mengekalkan reputasi Tabung Haji sebagai model pengurusan haji yang holistik, tetapi juga membentuk kesedaran dalam kalangan jemaah bahawa menjaga kebersihan merupakan sebahagian daripada ibadah dan tanggungjawab bersama sepanjang berada di Tanah Suci.

Must Watch Video

Advertisement