JITRA: Polis menahan dua lelaki yang dipercayai cuba menyeludup masuk senjata api tiruan dari negara jiran melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim berkata suspek berusia 27 dan 21 tahun ditahan selepas sepasukan anggota menahan kereta Perodua Myvi yang dikesan dalam keadaan mencurigakan.
“Pemeriksaan menemukan satu laras senapang tiruan jenis Carbine Model M4A1 dan kelopak di bawah kerusi pemandu manakala satu lagi laras senapang jenis Model N4 bersama-sama kelopak di bawah kerusi penumpang.
“Pemeriksaan lanjut di tempat letak barang menemukan lapan kotak mengandungi pistol tiruan bersama-sama kelopak, empat kotak kelopak, lapan plastik berisi peluru manik dan 10 botol gas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu hari ini.
Mohd Radzi berkata siasatan awal mendapati jurutera kilang dari Pulau Pinang berusia 27 tahun ialah suspek utama kegiatan berkaitan senjata api tiruan manakala rakannya yang bekerja sebagai penghantar makanan hanya menemaninya.
“Suspek menyertai satu kumpulan dalam aplikasi Telegram yang mempunyai 25 ahli dengan topik utama perbincangan berkaitan senjata api tiruan selain suspek turut mengiklankan serta mengambil pesanan ahli kumpulan.
“Suspek ke Hat Yai, Thailand untuk membeli senjata api tiruan yang ditempah dengan kos keseluruhan dianggarkan RM6,500 dan jika berjaya menjual senjata itu, dia boleh memperoleh keuntungan kira-kira RM2,000,” katanya.
Mohd Radzi berkata suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau pernah membeli senjata api tiruan untuk kegunaan sendiri dan ia kali pertama dia menjualnya kepada pembeli lain.
“Tindakan menjual senjata api tiruan salah di sisi undang-undang selain boleh menyebabkan kecederaan. Secara mata kasar, senjata itu hampir 90 hingga 95 peratus menyerupai senjata asli dan jika terlepas, boleh digunakan untuk melakukan jenayah termasuk samun,” katanya.
Beliau berkata dua suspek itu direman sehingga hari ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960.
“Polis kekal komited memperketat kawalan keselamatan di pintu sempadan bagi mengekang aktiviti yang melanggar undang-undang termasuk penyeludupan dadah, senjata api dan migran,” katanya.
-- BERNAMA