SEREMBAN: Polis telah merakam keterangan 20 individu bagi membantu siasatan kes membabitkan seorang wanita warga Myanmar yang ditemukan maut dengan kesan kelar di leher di sebuah asrama pekerja asing di Nilai, Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Nilai Supt Johari Yahya berkata individu berkenaan terdiri daripada rakan mangsa, penghuni asrama dan pengawal keselamatan.
"Ketika ini, polis sedang meneliti beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh di kawasan tersebut.
“Kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan orang ramai diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu siasatan,” katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata keputusan awal bedah siasat terhadap mayat mangsa yang dijalankan selama lebih empat jam bermula 10.45 pagi di Hospital Rembau mendapati punca kematian disebabkan luka kelar di leher.
Terdahulu, media melaporkan polis menemukan mangsa berusia dalam lingkungan 30-an itu dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri di tangga asrama tersebut selepas menerima laporan pada 11.21 malam.
Berdasarkan keterangan awal, polis tidak menolak kemungkinan wujud unsur konflik peribadi atau kewangan dalam kes itu.
-- BERNAMA