KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan akan terus mengekalkan harga minyak pada kadar RM1.99 seliter, meskipun berdepan tekanan daripada pakar ekonomi yang menyarankan agar kenaikan harga dilaksanakan demi kestabilan fiskal.
Beliau berkata, walaupun Malaysia mengimport kira-kira 50 peratus bekalan petroleum untuk kegunaan domestik, kerajaan tetap berpendirian untuk tidak membebankan rakyat, terutamanya golongan pekerja di peringkat bawahan.
Menurutnya, langkah itu meletakkan Malaysia sebagai antara negara yang menawarkan harga bahan api terendah di dunia, setanding dengan negara pengeluar minyak utama seperti Brunei dan Rusia.
"Semua negara pengeluar minyak dunia telah menaikkan harga minyak mereka termasuk antara pengeluar tertinggi di dunia seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE) juga telah menaikkan harga, namun Malaysia masih mengekalkan pada RM1.99.
"Sebab itu saya perlukan sokongan pekerja. Ada yang bertanya mengapa saya begitu berkeras mengekalkan harga ini? Pakar ekonomi dan golongan korporat mencadangkan supaya saya lebih 'realistik' dan menaikkan harga jika mahu menjaga ekonomi negara," katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026 di Bukit Jalil, di sini, pada Jumaat.
Mengulas lanjut mengenai desakan tersebut, Anwar berkata, beliau sedar akan tanggungjawab untuk menjaga ekonomi negara, namun keutamaan tetap diberikan kepada nasib rakyat terbanyak.
"Saya jawab, ya saya realistik. Kita jaga ekonomi negara, kita jaga rakyat, tetapi saya juga sedang menunggu dan melihat bagaimana nasib golongan pekerja terutamanya mereka yang berada di peringkat bawah," jelas beliau.
Dalam masa sama, Anwar memberi jaminan bahawa setiap langkah yang diambil oleh kerajaan adalah telus dan tidak sekali-kali akan mengkhianati amanah rakyat.
"Percayalah, kita tidak akan khianati amanah ini. Kita tidak menggunakan kuasa untuk mengkayakan diri sendiri atau keluarga. Sokongan anda amat diperlukan dalam keadaan mencabar ini," tegas beliau.
Anwar turut menyatakan hasrat untuk berbincang lebih lanjut dengan Menteri Sumber Manusia (KESUMA) bagi memperhalusi isu-isu berkaitan tenaga kerja dan menekankan peri pentingnya pemimpin untuk sentiasa turun ke padang.
"Saya beritahu (kepada barisan kepimpinan), amanah kita adalah untuk turun dan mendengar suara pekerja. Jangan sesekali beranggapan apabila kita diberikan amanah dan diangkat tinggi, kita sudah tahu segalanya.
"Tidak. Ada hal yang mungkin kita kuasai, tetapi ada banyak hal lagi yang perlu kita dengar daripada akar umbi. Bukan semua jawapan itu ada pada kita (pemimpin) semata-mata," tegas beliau lagi.