PADANG BESAR: Kerajaan yakin pembangunan Depot Pelepasan Pedalaman Perlis (PIP) di sini akan menyumbang secara signifikan kepada sasaran perdagangan dua hala Malaysia-Thailand, yang diunjurkan mencecah US$30 bilion menjelang tahun depan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata hubungan erat antara Malaysia dan Thailand menjadi asas kepada pembangunan ekonomi di sempadan kedua-dua negara dan PIP akan memperkukuh lagi hubungan ekonomi itu melalui kemudahan perdagangan rentas sempadan yang lebih cekap, pantas dan bersepadu.
“Kedudukan strategik Perlis di sempadan Malaysia-Thailand memberikan kelebihan yang amat besar kepada negeri ini untuk muncul sebagai hab logistik dan perdagangan utama di rantau ini.
“PIP berpotensi menjadi pintu masuk utama perdagangan darat yang menghubungkan negara-negara ASEAN dengan pasaran yang lebih luas di Asia Timur dan Eurasia,” katanya pada majlis perasmian Zon Perdagangan Bebas Tuanku Syed Sirajuddin - PIP di sini hari ini.
Ia disempurnakan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Turut berangkat pada majlis itu Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Hadir sama Menteri Besar Abu Bakar Hamzah.
Loke berkata pembangunan itu dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat melalui penciptaan peluang pekerjaan baharu, peningkatan aktiviti perniagaan serta kemasukan pelaburan berkualiti tinggi ke negeri Perlis.
Katanya kemudahan itu turut melengkapi pembangunan strategik lain di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) seperti Chuping Valley Industrial Area (CVIA), Kedah Rubber City (KRC) dan Kedah Science & Technology Park (KSTP) sekali gus membentuk sebuah ekosistem ekonomi yang saling memperkukuh dan berdaya saing.
“Melalui sambungan terus kepada rangkaian rel berkembar negara dan jaringan kereta api Thailand, kemudahan ini membuka akses yang lebih luas kepada pasaran ASEAN, China, Asia Tengah dan Eropah menerusi rangkaian Kereta Api Trans-Asia.
“Pembangunan ini dijangka membantu mengurangkan kebergantungan kepada laluan pengangkutan tunggal, meningkatkan kecekapan logistik dan seterusnya mengurangkan kos operasi perdagangan,” katanya.
Loke berkata pada masa sama, penggunaan rel sebagai mod utama pengangkutan kargo turut menyokong aspirasi negara ke arah sistem pengangkutan yang lebih hijau dan mampan dengan pengurangan pelepasan karbon serta kesesakan jalan raya.
“Kemudahan ini dibangunkan bagi menggantikan Terminal Kargo Padang Besar yang telah mencapai had kapasiti operasi sebanyak 150,000 TEU (unit bersamaan dua puluh kaki) setahun.
“Dengan keluasan 202.34 hektar dan kemudahan logistik moden yang lengkap, PIP menawarkan kapasiti pengendalian awal sebanyak 600,000 TEU setahun dan berpotensi berkembang sehingga dua juta TEU apabila keseluruhan pembangunan selesai dilaksanakan,” katanya.
Loke berkata PIP juga akan berfungsi sebagai platform strategik untuk memperluas jaringan perdagangan Malaysia ke negara-negara wilayah Mekong, China dan Asia Tengah, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab perdagangan dan logistik pilihan di rantau ini.
-- BERNAMA