Skip to main content

Malaysia

Permohonan Biasiswa YDPA 2026 mula dibuka hari ini hingga 6 Mac 2026

Foto: Astro AWANI
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini mengalu-alukan pelajar cemerlang untuk memohon Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2026 yang dibuka bermula hari ini sehingga 6 Mac 2026.

KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini mengalu-alukan pelajar cemerlang untuk memohon Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2026 yang dibuka bermula hari ini sehingga 6 Mac 2026.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan menerusi laman Facebook rasminya, JPA memaklumkan biasiswa berkenaan menyasarkan individu berpotensi tinggi yang menunjukkan kecemerlangan secara holistik.

Menurut JPA, ia merangkumi pencapaian akademik yang konsisten, penglibatan aktif dalam kegiatan bukan akademik, kepimpinan unggul serta komitmen terhadap pembangunan negara.

Selain itu, menurut JPA, biasiswa berprestij yang turut dikenali sebagai King’s Scholarship itu merupakan antara penajaan tertinggi kerajaan. Inisiatif tersebut disasarkan untuk melahirkan pemimpin akademik dan profesional bertaraf dunia yang mampu menyumbang secara signifikan kepada kemajuan Malaysia.

Biasiswa berkenaan ditawarkan kepada pelajar yang berhasrat melanjutkan pengajian sepenuh masa di peringkat Sarjana (Penyelidikan) dan Doktor Falsafah (PhD). Jelas JPA, pemohon diberi fleksibiliti untuk memilih sama ada melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi tempatan atau di universiti terkemuka dunia, tertakluk kepada kesesuaian bidang dan kelayakan.

Dari segi bidang keutamaan, antara yang dikenal pasti termasuk Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), ekonomi, undang-undang, kewangan Islam serta kecerdasan buatan (AI). Bidang-bidang ini dilihat berpotensi besar dalam memacu pembangunan negara secara mampan dan berdaya saing.

Dalam pada itu, JPA memaklumkan borang permohonan yang lengkap perlu dicetak dan ditandatangani pemohon dengan lampiran dokumen sokongan dikemukakan kepada JPA sebelum atau pada 13 Mac ini, melalui serahan tangan atau pos.

Dokumen berkenaan perlu dialamatkan kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Jabatan Perkhidmatan Awam, Bahagian Pembangunan Modal Insan, Aras 3, Blok C2, Kompleks C, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62510 Putrajaya (u.p: Unit Pengurusan Penawaran Dalam Perkhidmatan).

JPA turut memaklumkan bahawa permohonan turut dibuka kepada pegawai awam, namun ia tertakluk kepada syarat-syarat umum kemudahan cuti belajar yang sedang berkuat kuasa.

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui portal rasmi JPA di penajaan.jpa.gov.my.

Mankala, bagi sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan menerusi talian 03-8885 3569 atau e-mel ke [email protected].

Must Watch Video